Kenduri oh kenduri

Cuti pertengahan penggal sekolah dah masuk minggu kedua, sekejap saja rasanya. Sebenarnya, hari sekolah ke, cuti sekolah ke, tak beri apa-apa makna pun bagi saya sebab saya pun dah lama tinggalkan zaman sekolah. Tapi cuti sekolah kali ini does affect me a little bit, sekurang-kurangnya memenuhkan jadual cuti inter-sem saya tahun ni dengan beberapa kenduri kahwin rakan-rakan dan senior.

Cuti sekolah sangat sinonim dengan kenduri dan jamuan. Kenduri kahwin, yang memang selalu berada di kedudukan tertinggi dalam 'carta kenduri-kenduri di musim cuti sekolah', kenduri tahlil dan arwah, kenduri 'aqiqah, kenduri kesyukuran, dan majlis solat hajat. Itu antara kenduri-kenduri yang saya tahu dan biasa diadakan di kampung saya.

Kenapa banyak sangat jenis-jenis kenduri yang ada di Malaysia, atau lebih tepat dalam kalangan masyarakat Melayu? Rasanya di negara-negara lain yang majoritinya umat Islam, ataupun dalam kalangan masyarakat Cina atau India di negara kita sendiri, tak ada pula mereka adakan jamuan dan kenduri sebanyak kenduri yang kita buat sekarang ni. Atau saya sebenarnya yang tak tahu?

Mungkin kenduri dan jamuan sudah sinonim dengan masyarakat kita dan sudah menjadi adat kebiasaan. Kalau ada kalangan ahli keluarga yang nak mendirikan masjid, tiga jenis majlis yang perlu difikirkan; malis akad nikah, majlis mengarak pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, dan majlis menyambut menantu perempuan. Kalau ada baby baru lahir, sibuk pula nak fikir kenduri 'aqiqah dan bercukur rambut. Kalau ada kematian ahli keluarga, kenduri tahlil pula yang perlu difikirkan. Sudah tentu yang menjadi keutamaan untuk difikirkan adalah menu yang akan dijamu kepada tetamu yang dijemput.

Bukannya tidak elok mengadakan kenduri sambil menjamu dan memberi makan kepada jiran-jiran dan masyarakat setempat secara percuma, insya Allah ada pahalanya. Tapi, niat kita mestilah betul dan jangan membazir. Jangan kerana hendak menunjuk-nunjuk, tak perlu berleih-lebihan dan jangan pula sampai berhutang semata-mata nak buat kenduri secara besar-besaran. Orang-orang yang dijemput pula, janganlah 'the chosen one' saja. Kalau betul niat untuk bersedekah, sepatutnya yang miskin dan fakir perlu diutamakan, bukannya yang kaya-raya saja yang menjadi tetamu jemputan.

Walaupun kebanyakan kenduri yang diadakan hanyalah adat kebiasaan orang Melayu, tapi ia boleh menjadi ibadat sekiranya dilakukan dengan niat yang betul dan amalannya tidak melanggar syariat. Terpulang kepada kita. Jangan kerana kedua-dua niat dan amalan yang tidak betul, duit yang dilaburkan untuk jamuan dan kenduri tersebut hanya sia-sia, tidak bernilai dan tidak dipandang di sisi Allah.

Seperkara lagi, dalam kesibukan kita untuk bersedekah kepada jiran tetangga dengan kenduri-kenduri sebegini, jangan pula kita langsung lupa tangungjawab kita pada saudara-saudara seagama kita di Palestin sana. Hakikatnya, mereka lah yang lebih memerlukan sumbangan dan sedekah kita jika dibandingkan dengan masyarakat kita di sini.

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam