Berkorban Harta untuk Agama

Tiga hari lepas, saya menyertai satu program yang dikendalikan oleh consultant jemputan dari Rebutia D'Perkasa, dikenali dengan nama Pok Nik, bersama dengan pembantu-pembantunya. Walaupun program hanya sehari semalam, tapi keletihannya seperti saya menghadiri program tiga hari kerana kebanyakan modulnya perlukan kerahan minda.

Kebanyakan aktiviti yang dijalankan memang menarik; generally menyentuh tentang konsep ukhuwwah, dakwah dan pengorbanan dalam dakwah. Tapi, ada satu aktiviti yang sangat mengesankan hati saya yang ingin dikongsi di sini dan mungkin boleh diambil pengajarannya.

Aktiviti ini memerlukan kami (in group, about 15 members) melalui satu track yang disediakan. Kemudian, untuk ke track yang seterusnya yang agak jauh, kami memerlukan batu bata untuk membantu kami meneruskan perjalanan tanpa dibenarkan memijak tanah. Untuk mendapatkan batu bata tersebut, kami perlu mengorbankan apa sahaja ‘harta’ yang ada pada kami waktu itu. Kalau sedikit barang-barang yang dikorbankan, so kecil lah saiz batu bata yang kami dapat. Seolah-olah satu tukar ganti. Tapi, yang agak mengejutkan, kami diberitahu yang barang-barang kami akan disedekahkan kepada anak-anak yatim negeri Pahang; maksudnya, kalau dah beri, barang-barang itu kita tak akan dikembalikan.

Ada yang serahkan jam tangan, ada yang serahkan handphone, cermin mata, pen, gula-gula, purse, malah ada yang serahkan barang kemas seperti cincin, gelang dan rantai emas. Bagi saya, ia sangat mencabar emosi kerana pengorbanan yang dilakukan memang menuntut kesabaran dan kerelaan yang bukan sedikit. Barang-barang yang diserahkan pasti ada nilai yang tersendiri pada pemiliknya sama ada nilaian harga ataupun nilai sentimental. Tapi, dek kerana pengorbanan yang mesti dilakukan, semua barang yang ada sanggup diserahkan.

Sejujurnya bagi diri saya sendiri, baru saya tahu betapa susahnya untuk mengorbankan harta dan segala kepunyaan kita untuk agama Allah tanpa ada keimanan dan keyakinan yang tinggi kepadaNya; lebih-lebih lagi sekiranya apa yang dikorbankan itu memang satu keperluan untuk diri kita. Kita mudah untuk rasa berbelah bahagi, mencipta pelbagai alasan untuk mengelakkan diri dan mungkin akan tewas dalam ujian ini.

Tetapi harus diingat, segala apa yang ada pada kita dan di sekeliling kita adalah pinjaman dari Allah semata-mata dan kita perlu kembalikan hak tersebut kepada Allah, terutama untuk jalan dakwah, walaupun keadaan kita ketika itu sangat memerlukan. Berkorban harta atau menginfakkan harta di jalan Allah bukan bermaksud menyerahkan lebihan harta yang ada pada kita setelah menolak segala perbelanjaan hidup, sebaliknya mengutamakan bahagian dan hak untuk jalan dakwah terlebih dahulu sebelum memenuhi hak perbelanjaan kita sendiri. Susah, bukan? Ternyata, berteori dan bercakap sahaja tidak membuktikan apa-apa. Tetapi, apa yang kita lakukan sebenarnya itulah yang akan menjadi saksi di akhirat kelak.

Kita mungkin tidak merasainya sekarang kerana kita tidak diuji dengan peperangan, kebuluran atau sekatan ekonomi ke atas negara kita. Tapi, andai kata nasib kita ditakdirkan sama seperti saudara-saudara kita di Palestin, adakah kita sanggup menyerahkan segala-galanya untuk agama Islam? Tepuk dada, tanya iman.

Jika kita masih ragu-ragu dan berkira-kira dengan harta yang dimiliki untuk diinfakkan, renungkan firman Allah yang berbunyi:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui."
(As-Saff: 10-11)

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..."
(At-Taubah:111)

Terlalu kecilkah nikmat terselamat dari azab api neraka sehingga kita sanggup berkira dengan Allah? Atau terlalu murahkah harga syurga yang dijanjikan Allah sehingga kita lebih mengutamakan kehendak kita di dunia berbanding dengan balasan syurga yang nilaiannya tidak terbanding dengan seluruh isi dunia?


Nota:
Semua barang-barang akhirnya dikembalikan kepada pemiliknya di akhir program, kerana kata Pok Nik, anak-anak yatim di negeri Pahang sudah kaya.=)

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam