Koreksi Diri daripada Mereka

Saya selalu mendapat 'teguran’ daripada rakan-rakan dan sahabat-sahabat sekeliling tentang banyak perkara. Teguran yang dimaksudkan bukan merujuk pada teguran secara direct, cakap face to face, kena sound, dan sebagainya. Tapi teguran yang diperoleh melalui tingkah laku mereka, penceritaan masalah mereka pada saya, dan juga cara percakapan mereka. Dan apabila teguran dalam bentuk-bentuk tersebut terkena tepat pada batang hidung sendiri, memang pedih untuk mendengarnya apatah lagi untuk mengakuinya.

Tapi Alhamdulillah, daripada situ kita boleh mengoreksi diri, menyingkap kesempurnaan dan kekurangan yang ada pada diri kita.

Bagaimana sebenarnya?

Katakan saya mempunyai rakan-rakan yang kurang sopan dan selalu bercakap kasar. Sudah tentu saya tidak suka dengan sikap mereka. Tapi, saya juga harus menilai diri saya, adakah saya juga membalas kata-kata mereka dengan perkataan yang kasar juga atau lebih teruk? Kalau saya juga berkelakuan begitu, maka itulah peribadi saya yang sebenarnya.

Katakan lagi, ada kawan-kawan saya yang selalu mengadu masalah kepada saya – masalah belajar, masalah keluarga, masalah dengan kawan-kawan, masalah hati, dan sebagainya. Apabila dihadapkan dengan masalah kawan-kawan, saya berusaha mendengar dan memberi nasihat yang terbaik. Tapi tak semestinya saya juga terlepas daripada diuji dengan masalah-masalah demikian. Saya harus menilai diri saya sendiri,

"Mereka berusaha selesaikan masalah mereka, nak jadi orang yang baik, tapi aku…?"

"Aku selalu beri nasihat pada orang, tapi adakah aku juga beri nasihat yang sama pada diri sendiri? Adakah aku juga buat seperti mana yang aku nasihatkan pada orang lain?"

Inilah antara kelebihan yang kita peroleh kalau kita berkawan dan bersahabat dengan ramai orang. Daripada mereka, kita boleh menilai diri, muhasabah diri, dan memperbetulkan diri. Kita tidak mampu mengenali diri sendiri melainkan dengan bantuan orang-orang di sekeliling kita. Dan kita tidak akan sedar di mana kelemahan dan kekurangan diri kita melainkan kita melihat sendiri kelemahan dan kekurangan tersebut pada orang lain. Yang kemudiannya harus direfleksikan ke dalam diri sendiri, bukan hanya nampak kelemahan orang lain dan lupa melihat kelemahan diri sendiri.

Justeru, dalam bersahabat, ikhlaskan diri sendiri untuk memberi dan menerima segala-galanya, terutamanya dalam usaha menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Kita bukan hanya bersahabat untuk mendapat segala-gala yang baik dan berkongsi yang manis-manis sahaja, tetapi kita juga bersedia menerima teguran dan nasihat yang pahit untuk ditelan daripada mereka. Jangan sia-siakan sahabat-sahabat yang dikurniakan Allah kepada kita.



Bukankah orang beriman itu ibarat cermin kepada saudaranya sendiri?

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam