Belajar daripada Kanak-kanak

Sabtu lepas di sebuah surau dekat Indera Mahkota 5, sementara menunggu kawan-kawan menunaikan solat Asar, saya duduk berteduh di sebuah bangku yang disediakan. Redup, nyaman. Seronok rasanya dapat merasai suasana petang begitu. Terasa bebas daripada segala belenggu study, assignment dan exam

Di sebelah surau, ada satu playground dan kebetulan waktu itu ada empat orang kanak-kanak sedang bermain buaian. Dua orang dalam lingkungan umur 10 tahun, dan dua orang dalam umur 4 ke 5 tahun. Gelagat mereka meralitkan saya terutamanya yang paling kecil. Ketika yang lain sibuk hayun buaian masing-masing, dia duduk senyap je sebab kaki tak dapat cecah tanah nak hayun buaian sendiri. Sedih mukanya. Hati terasa nak menolong tapi malu pulak nanti dikatakan macam budak-budak. Lagipun, saya bukanlah orang yang dikenali kat taman tu.

Akhirnya budak perempuan tu memberontak dalam pelatnya yang tersendiri, minta yang lain menghayunkan buaian untuknya. Dan kehendaknya diturut. Gembira bukan main. "Yipee!Yipee!" Saya tergelak sendirian. Dan apabila buaian hampir berhenti, dalam pelatnya juga, dia minta hayun lagi sebab buaian dah slow. Dan kehendaknya diturut lagi.

Daripada buaian, mereka beralih ke gelongsor dan akhirnya jongkang-jongket. Yang kecil menurut saja yang besar. Kalau yang besar nak main gelongsor, yang kecil pun ikut sama. Mungkin memang begitu kalau budak-budak kecil berkawan dengan mereka yang lebih besar. Mesti nak ikut saja apa orang besar buat. 

Mata saya masih tak lepas memandang gelagat mereka sambil tersenyum seorang diri. Dan saya tahu mereka tahu dan perasan, tapi biarlah.

30 minit berlalu. Akhirnya kawan-kawan saya selesai solat, dan kami beransur pergi daripada situ. Apabila kami sudah agak jauh berjalan, terdengar suara-suara sayup-sayup menjerit dari arah playground, "Bye-bye kakak!" Saya berpaling. Rupa-rupanya mereka melambaikan tangan ke arah saya, dan mungkin kepada kami semua. Saya agak terkejut, tapi sempat membalas dan melambai tangan pada mereka. Tak sangka, walaupun tak dikenali dan sekadar menjadi pemerhati gelagat mereka, tapi masih mengesankan hati mereka.

Kadang-kadang, memerhati gelagat manusia membuatkan kita bisa belajar sesuatu tentang kehidupan, tentang perkara yang kita tidak sedar. Lebih-lebih lagi kanak-kanak, golongan yang tulus dan jujur mengekspresikan segala bentuk perasaan mereka pada mimik muka dan tingkah laku mereka. Ya, mereka tidak pandai menipu dan berpura-pura.

Hari  itu, saya belajar sesuatu daripada mereka. Bahawa manusia memang memerlukan perhatian daripada orang lain tak kira ibu bapa, teman dan sebagainya. Dan apabila perhatian diberikan kepada seseorang, kalau dia itu jenis yang mengenang budi, dia akan menghargai apa yang dilakukan dan orang yang memberikan perhatian padanya. Respon akan diberikan dalam apa jua bentuk.

Begitu juga dalam konsep berdakwah dan mengajak rakan-rakan kepada kebaikan. Jangan hanya pandai menegur dan mengajak tanpa berusaha mendekati, memahami, bergaul, memberi perhatian dan kasih sayang kepada mad'ue. Mereka akan lebih terbuka untuk menerima kita dan apa yang dibawa.

Tetapi hakikatnya tidak semudah itu dalam berdakwah. Kesabaran yang tinggi sangat diperlukan. Kerana mereka bukan kanak-kanak seusia yang saya  temui di taman. Tetapi mereka adalah golongan yang telah matang, punya prinsip dan jalan hidup sendiri. Maka, berusahalah dengan lebih tekun!


Comments

Azila said…
betul2
melalui pemerhatian kita boleh bljar bnyk perkara

betul2
manusia tk boleh hidup sendirian tnpa phatian walau sekuat mana pn kita

betul2
kita jgn hendak cepat mdapat hasil dpd usaha dakwah dn jgn cept putus asa..sabar

thanks shuhada
nasuha said…
=)

kita sependapat.

sama2..

Popular posts from this blog

Allah Lihat pada Usaha

Yang Patut Kita Ambil Tahu 1 - Gerakan Kristianisasi

"Inni Shoimun"