Ujian Buat Seorang Da'ie
“Sedih la awak dah nak grad. Mesti lepas ni rasa tak semangat dah nak pergi program…”
Perasaan ini pernah dirasai ketika teman-teman seperjuangan akan pergi meninggalkan saya dan rakan-rakan lain kerana telah tamat belajar. Sayu dan sedih. Sehingga kadang-kadang semangat untuk meneruskan perjuangan jatuh merudum.
“Kenapa awak dah tak datang usrah dan program? Dulu masa kat universiti, awak lah yang paling bersemangat. Dan awak jugak yang bagi semangat kat orang lain.”
Dan ini adalah contoh situasi yang amat saya takuti akan berlaku pada diri sendiri. Ketika masih belajar dan punya ramai teman-teman seperjuangan di sekeliling, kami boleh saling menyokong antara satu sama lain. Tetapi setelah bekerja, semuanya bertebaran dan bertaburan ke serata tempat. Masing-masing dicampakkan ke tempat yang asing dan baru, dengan susunan masa yang berbeza berbanding ketika belajar. Ketika itu, masih adakah teman-teman yang akan menyokong dan memberi semangat?
Seperti juga iman yang sentiasa ada pasang surutnya, begitulah juga dengan keinginan, keyakinan dan semangat kita untuk berada pada jalan tarbiyyah dan dakwah. Kita akan sentiasa diuji, untuk menilai sama ada kita akan tetap berada pada jalan ini atau berhenti sebelum sampai ke titik akhir. Dan bagi saya, ujian yang paling berat adalah apabila kita terpaksa berpisah daripada keluarga, rakan-rakan dan teman-teman yang selama ini menyokong, membantu dan memberi semangat pada kita. Tidak kiralah sama ada kita ditinggalkan atau kita meninggalkan mereka. Tidak mustahil ketika itu kita akan kalah dengan ujian yang diberikan. Na’uzubillah.
Apabila membayangkan keadaan ini, atau apabila terdengar cerita-cerita tentang si fulan yang dulunya cakap berdegang-degang, penuh semangat tapi akhirnya terasing daripada jalan dakwah dan tarbiyyah, seringkali saya teringat pada satu kisah yang rasa sangat familiar pada semua, iaitu kisah ketika para sahabat Rasulullah saw mendapat berita tentang kewafatan baginda.
“… Kewafatan Rasulullah s.a.w telah tersebar luas sehinggalah Sayyidina Abu Bakar mendapat berita sedih ketika berada di atas kuda dalam perjalanan pulang kerana pada sangkaannya baginda telah beransur pulih. Sayyidina Abu Bakar bergegas menuju ke Masjid Nabawi lalu memasuki bilik Sayyidatina ‘Aisyah dimana terletaknya jasad Rasulullah s.a.w. Beliau duduk berhampiran jasad nabi yang mulia lalu menyingkap kain yang menutupi bahagian muka nabi di mana beliau terus mengucupnya dan menutup kembali seterusnya keluar menemui para muslimin yang masih sedih dan terkejut menerima berita yang sedih ini.
Suasana ketika itu hampir tidak terkawal kerana masing-masing bagaikan tidak percaya apabila menerima berita kewafatan rasul yang begitu dikasihi, ketua yang disegani, pemimpin yang telah memimpin umat daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan islam. Sayyidina Umar sendiri tidak mempercayai berita kewafatan nabi malah memberi amaran keras akan memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat kerana baginya Rasulullah s.a.w tidak akan wafat melainkan setelah kaum munafik dihancurkan. Ada juga para muslimin yang tidak kuat imannya kembali murtad kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan nabi ini.
Suasana ketika itu hampir tidak terkawal kerana masing-masing bagaikan tidak percaya apabila menerima berita kewafatan rasul yang begitu dikasihi, ketua yang disegani, pemimpin yang telah memimpin umat daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan islam. Sayyidina Umar sendiri tidak mempercayai berita kewafatan nabi malah memberi amaran keras akan memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat kerana baginya Rasulullah s.a.w tidak akan wafat melainkan setelah kaum munafik dihancurkan. Ada juga para muslimin yang tidak kuat imannya kembali murtad kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan nabi ini.
Dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin lalu mengeluarkan kata-katanya yang tegas :
أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات , ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak akan mati
Selepas itu beliau membaca ayat 144 surah ali Imran :
وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل , أفإن مات أو قتل انقلبتم على أعقبكم , ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا , وسيجزي الله الشكرين .
Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur.
Petikan khutbah daripada: sumber
Kisah di atas bukanlah sebagai analogi pada tajuk yang dibincangkan, tetapi hanya sekadar mengambil pengajaran daripadanya. Apabila kita meyakini dan mengaku bahawa kita beriman kepada Allah dan hanya Dia adalah Tuhan yang kita sembah, maka segala amalan dan ibadah yang kita lakukan perlulah ikhlas hanya semata-mata keranaNya, bukan kerana manusia.
Maka, kerja dakwah yang kita lakukan selama ini adalah bukan kerana kita masih punya teman seperjuangan yang bersama-sama dengan kita, bukan kerana manusia yang ada di sekeliling kita, dan bukan kerana suasana baik yang ‘mengizinkan’ kita untuk beramal dan berdakwah kepada agamaNya; tetapi semuanya harus didasarkan kepada kewajipan kita pada Allah Taala. Semak, perbaharui kembali dan jaga niat kita supaya tidak mudah terpesong apabila diuji dengan ujian-ujian yang berat.
“Jadilah dirimu seperti benih yang baik, apabila dicampakkan ke daratan, ia akan menjadi gunung, dan apabila dicampakkan ke lautan, ia akan menjadi sebuah pulau.”
Walau ke mana sahaja kita dicampakkan Allah suatu hari nanti mengikut perjalanan takdirNya, berusahalah untuk menjadi yang terbaik, memberi sebanyak mungkin kepada orang sekeliling kerana rasa tanggungjawab kita terhadap agama Allah, walaupun kita berseorangan di bumi yang sangat asing. Manusia tak akan selamanya bersama dengan kita, tetapi Allah sentiasa di sisi kita, saat senang mahupun susah. Jadi seharusnya kekuatan dan semangat dipohonkan hanya daripadaNya.
Semoga saya dan anda thabat di atas jalan ini.ameen.
Comments