Kita sedara ke...?

Pernah tak terjadi begini: Anda punya seorang kawan atau kenalan, dan akhirnya anda dapat tahu rupa-rupanya kawan anda tu ialah saudara mara anda sendiri yang tak pernah anda kenal dan temui sebelum ini.
Perkara begini boleh saja berlaku, terutamanya apabila kita punya saudara mara yang semuanya menetap jauh antara satu sama lain. Kita tak pernah bertemu dengan mereka dan  akhirnya kita mengenali mereka atau anak-anak mereka dalam situasi yang tak disangka-sangka. Malah tak mustahil dan keterlaluan kalau saya bayangkan, boleh jadi pasangan yang nak berkahwin pun akhirnya dapat tahu rupa-rupanya mereka ada hubungan saudara.
Saya perhatikan, generasi sekarang berbeza dengan orang dulu-dulu dalam mengenali saudara mara. Nenek saya yang dah berumur 80 lebih dapat kenal dan ingat hampir semua saudara mara sampai sekarang. Apabila turun kat mak saya, mungkin ¾ je. Apabila turun kat saya dan adik beradik, mungkin separuh atau kurang.
Ya, mungkin dulu kebanyakannya tinggal berdekatan dan tak merantau jauh-jauh, tapi sekarang semua bertebaran atas muka bumi. Generation gap juga makin jauh. Walaupun kebanyakannya punya transport untuk lawat saudara mara, tapi tak semua punya masa, dan tak semua punya keinginan untuk kenal saudara mara mereka sendiri.
Zaman sekarang, teknologi sangat mendominasi dan berpengaruh. Manusia lebih suka ‘berkenalan’ dan ‘bermesra’ dengan TV, komputer, video games, dsb. Contohnya, apabila time raya, generasi sekarang mungkin lebih suka lepak depan TV dan bermain video games daripada ziarah saudara mara.
Apabila saudara mara datang ziarah, langsung tak dihiraukan, entah siapa-siapa yang datang. Jika ibu bapa pun tak ambil peduli tentang keadaan tu, maka sampai besar pun mereka tak akan kenal saudara mara terutamanya yang jauh-jauh.
Saya juga bukanlah seorang yang sangat kenal mesra dengan saudara mara. Malah sampai sekarang pun, ramai yang saya tak kenal, dan mereka pun bukannya kenal saya. Dan ketika kecil-kecil dulu, bukanlah suatu kegemaran saya sebenarnya untuk kenal setiap saudara mara yang datang ke rumah atau terjumpa di mana-mana.
Tapi mak saya lain. Apabila ada saudara mara atau tetamu yang datang ke rumah atau kami bertandang ke rumah mereka, kami semua akan dipanggil keluar atau disuruh jumpa dan bersalam dengan mereka. Pantang mak saya kalau kami tak buat macam tu. Bersiap la untuk dengar ceramah percuma lepas tu. Selalu mak saya akan bilang, “Nanti dikata orang, “Sombongnya anak dia tu. Tak keluar pun bersalam dengan tetamu.”” Ataupun “Kenal-kenal la dengan diorang, saudara kamu je semua ni. Nanti jumpa kat mana-mana, tak tahu pulak saudara sendiri.”
Daripada didikan mak saya dan melihat cara beliau bergaul dengan saudara mara, saya makin ‘berminat’ untuk kenal siapa saudara mara saya. Tambah lagi, dalam masyarakat Melayu ni banyak sangat istilah-istilah yang mewakili pangkat dalam ahli keluarga. Contoh pangkat yang biasa, sepupu dan mak/ayah saudara; dan yang jauh sikit, mak sepupu, nenek/datuk saudara, dua sepupu,dan tiga sepupu pun pernah saya dengar. Menunjukkan betapa ramainya saudara mara kita sebenarnya.
Apabila dengar panggilan atau pangkat-pangkat macam ni, saya cuba untuk memahami apa hubungan mereka dengan keluarga saya sampai dapat pangkat macam tu (pangkat mungkin berbeza ikut negeri, saya pun kurang pasti). Dan akhirnya saya dapat kenal beransur-ansur siapa saudara mara saya.
Saya masih ingat lagi, ketika di Tingkatan 1, saya perlu siapkan satu bentuk assignment untuk subjek Sejarah (lupa istilahnya, kajian sejarah kot). Saya perlu sediakan salasilah keluarga sampai kepada semua adik beradik datuk dan nenek, dan kena tulis biografi semua ahli keluarga saya sampailah kepada mak dan bapa saudara serta datuk dan nenek. Tension sangat nak buat kajian ni. Tebal la juga muka ni untuk tanya dan interview seorang demi seorang tentang latar belakang diri dan pendidikan. Tapi at the end, saya sangat appreciate apa yang cikgu Sejarah saya tu suruh buat, sebab dengan cara tu juga saya kenal saudara mara saya.
Bagi saya, orang-orang tua dalam keluarga perlu berperanan penting untuk merapatkan kembali hubungan keluarga, terutamanya yang dah lama terpisah jauh. Biarkan generasi pewaris mereka kenal dan sesuaikan diri sesama mereka supaya mereka akhirnya tahu yang mereka punya segolongan yang dipanggil ‘saudara mara’ di dunia ini.
Saya sangat kagum apabila ada yang berusaha untuk mengumpulkan beberapa generasi keluarga daripada susur galur keturunan tertentu. Bukan senang untuk jejak semua orang, dan bukan senang untuk berkumpul semua sekali dalam satu masa. Sesungguhnya itu adalah usaha yang sangat murni dan  dianjurkan Islam.
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat…”
(an-Nisa’: 1)


Sesungguhnya, kita dan ahli keluarga serta saudara mara dihubungkan antara satu sama lain melalui pertalian darah dan juga hubungan rahim, hubungan yang tak akan pernah putus hingga ke akhir hayat. Maka hubungkanlah silaturrahim antara keluarga kita dan kaum kerabat.

Comments

Popular posts from this blog

Pendiam, peramah, atau banyak cakap?

Yang Patut Kita Ambil Tahu 1 - Gerakan Kristianisasi

"Inni Shoimun"