Khusyu' Hati
Pernah atau tidak berlaku begini: Anda sedang solat. Surah al-Fatihah dibaca, anda rukuk, iktidal, sujud, dan seterusnya seperti biasa. Tapi akhirnya beberapa minit kemudian, sedar-sedar anda sudah berada di posisi tahiyyat akhir.
“Eh dah tahiyyat akhir dah? Apasal rasa macam cepat sangat?”
Itu yang selalu berlaku bila tak khusyu’. Bilangan rakaat dah cukup, rukun-rukun solat dah buat, tapi hati dan fikiran tidak dibawa bersama ketika solat. Melakukan solat ‘di luar sedar’ sampai tak sangka solat dah tiba ke penghujung.
Khusyu’ dalam solat boleh terganggu disebabkan kondisi sekeliling; contohnya anak menangis, kanak-kanak buat bising dan berlari-lari berhampiran tempat solat, jemaah di kiri kanan yang ‘tak duduk diam’, dan macam-macam lagi.
Tapi rasa-rasanya, selalunya kita tak boleh khusyu’ dalam solat sebab diri sendiri. Sebab ketika solat lah pelbagai perkara terlintas di hati dan fikiran. Contohnya kita misplace barang dan sangat lupa kat mana kita letak barang tu. Tapi bila tengah solat, biasanya kita boleh ingat pulak kat mana kita letak barang tu. Ada lagi yang time solat boleh pulak tiba-tiba tarik bibir senyum sorang-sorang sebab teringat peristiwa lucu.
Ada yang teringat pasal kerja yang belum siap, cerita kat TV yang dah nak habis waktu siaran, makanan yang sedap-sedap kat dapur, dan macam-macam perkara lagi. Pelbagai perkara tergambar dalam fikiran sampai boleh jadi ‘kumpulan cerpen’ sepanjang solat. Pantang sedikit saja kita terleka, pasti meleret-leret entah ke mana. Sudahnya solat jadi tak khusyuk sampai lupa dah rakaat ke berapa, dah duduk antara dua sujud ke belum, dah tahiyyat awal ke belum...
Khusyu’ dalam solat bukan perkara kecil. Walaupun dikira bukan termasuk di antara syarat sah solat mengikut mazhab yang empat, tapi khusyu’ adalah komponen penting untuk memenuhi kesempurnaan solat supaya solat kita diterima Allah. Dan juga sebagai memenuhi syarat untuk mendapat hasil daripada solat seperti yang disebut Allah di dalam al-Quran:
“…Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar…”
(al-‘Ankabut: 45)
Malah disebutkan bahawa antara ciri-ciri mukmin yang berjaya adalah mereka khusyu’ dalam solatnya.
“Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyu’dalam solatnya,”
(al-Mu’minun: 1-2)
Bagaimana nak tambahkan rasa khusyu’ dalam solat? Mungkin beberapa point penting yang saya ambil daripada buku Formula Solat Sempurna – Ust Zaharuddin Abd. Rahman di bawah dapat membantu.
- 1. Lazimkan bertaubat sekerap yang mampu.2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita, serta menganggap solat tersebut merupakan solat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.3. Membaca dengan baik, berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali al-Fatihah, gerakan dan maknanya.4. Menghadirkan rasa sedang berhadapan dengan Tuhan sekalian alam iaitu Allah S.W.T., dan Allah sedang memerhatikan seluruh gerak-geri hati dan luaran solat kita.5. Timbulkan rasa malu terhadap Allah S.W.T., rasa takut terhadap azab Allah yang pedih.6. Membaca isti’azah dalam hati ketika terasa minda tidak focus kepada solat.7. Jangan solat dalam keadaan terlalu lapar, ingin membuangair kecil atau besar.
Tapi apapun, seperti yang ditulis Ustaz Zaharuddin, syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah S.W.T. Betul, kalau iman tak mantap, 100 tips yang diberi pun tak mampu membantu kita untuk khusyu’dalam solat. Kata beliau lagi, sebenarnya khusyu’ di dalam solat bermula daripada khusyu’ di luar solat. Kalau di luar solat hati tidak khusyu’ dengan Allah, memang payah untuk khusyu’ di dalam solat.
Solat itu kan penenang jiwa dan sebenarnya masa untuk kita ‘merehatkan’ diri dari kesibukan dunia. Tapi macam mana kita nak dapat kerehatan dan ketenangan jiwa yang hakiki kalau fikiran dan hati tak berhenti-henti bekerja mengingatkan perihal dunia walaupun ketika sedang solat?
Comments