Apabila Perhiasan Malu Ditanggalkan
Daripada Abu Mas'ud, 'Uqbah bin 'Amru al-Ansoori al-Badriy r.a., beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwah yang pertama ialah: "Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka." (Riwayat Imam Bukhari)
Ulama' menyebut tiga makna bagi hadis ini tetapi makna yang paling rajih (kuat) adalah perintah dengan membawa maksud ancaman dan janji buruk. Maksudnya, seolah-olah Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalau kamu tidak mempunyai rasa malu maka buatlah apa saja yang kamu suka. Allah akan membalas kamu dengan balasan yang amat pedih." [1]
Berdasarkan maksud hadis ni, maka tak hairanlah manusia zaman sekarang sudah berani melakukan dosa dan kejahatan secara terang-terangan, malah rasa bangga pulak dengan maksiat yang dilakukan.
Akibat hilang rasa malu...
~ Pasangan yang masih tiada ikatan yang sah, dengan selamba berpelukan dan berpegangan tangan di khalayak ramai.
~ Wanita yang mengaku beragama Islam langsung tidak malu berpakaian ketat dan menjolok mata, sehinggakan orang yang melihat pulak rasa malu.
~ Semakin ramai wanita yang berebut-rebut menyertai rancangan realiti TV atau rancangan hiburan, kononnya nak mencungkil bakat yang terpendam.
~ Semakin ramai wanita yang rela bahagian tubuh badannya - yang sepatutnya ditutup- didedahkan semata-mata untuk menjadi model iklan syampu, sabun mandi, dsb.
~ Kes-kes jenayah rogol yang tak pernah terlintas di fikiran sebelum ni, dah jadi satu kebiasaan. Ayah rogol anak, datuk rogol cucu, abang rogol adik, anak rogol emak(???), dan macam-macam kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak.
~ Kes-kes jenayah lain pun tak kurang hebatnya. Rasanya polis pun pening nak selesaikan kes-kes jenayah sekarang ni sebab manusia semakin kreatif dalam melakukan jenayah.
Apabila semua perhiasan malu telah ditanggalkan daripada diri kita, apa lagi yang tinggal pada kita? Jadilah kita manusia yang penuh kekurangan dan keaiban. Tidak ada lagi sifat yang dapat menghalang kita daripada melakukan dosa dan kejahatan kerana kita telah hilang rasa malu dengan Allah, apa lagi dengan manusia.
Nota kaki:
[1] Kitab Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Hadis ke-20. Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto. Pustaka Salam.
Comments