Catatan hutan batu

Alhamdulillah, petang tadi saya dan keluarga selamat sampai ke rumah setelah bermusafir hampir empat hari ke Kuala Pilah dan seterusnya Selangor atas satu urusan. Perjalanan yang agak memenatkan, walaupun bukan saya yang drive dan bukannya saya tak biasa berjalan jauh macam ni.

Saya sangat suka kalau dapat peluang pergi ke tempat orang, walaupun hanya dalam negeri sendiri. Kalau waktu remaja dan waktu zaman sekolah dulu, apabila dapat peluang pergi mana-mana, antara yang terlintas dalam kepala saya adalah untuk seronok-seronok (makan-makan, jalan-jalan, beli belah) walaupun lawatan tu namanya 'lawatan sambil belajar'. Tapi bila usia pun dah makin bertambah, keseronokan bukan lagi yang utama sebaliknya saya akan pastikan perjalanan dan kembara saya sesuatu yang bermakna dan ada pengajarannya.

Sepanjang perjalanan kali ni, apa yang agak mengesankan hati saya adalah betapa besarnya 'pengorbanan' yang terpaksa dilakukan oleh bumi ciptaan Allah sekarang ni untuk memenuhi keperluan dan kehendak makhluk Allah yang bernama manusia. Di mana-mana saja dapat dilihat hasil pemikiran dan kerja tangan manusia.

Kalau di kawasan bandar, macam-macam jenis bangunan dan jalan yang sedang dalam pembinaan. Saya pernah belajar di Pusat Matrikulasi UIA Petaling Jaya dan sudah hampir dua tahun meninggalkannya. Sepanjang berada di sana, bolehlah jugak saya hafal jalan-jalan utama di sekitarnya. Tapi, bila saya datang balik ke situ beberapa hari yang lepas, saya jadi bingung. Banyak betul yang berubah dalam masa dua tahun; dengan bangunannya, dengan jalannya. Ketinggalan zaman ke saya ni?

Kalau di kawasan hutan belantara yang baru nak dibuka, dari jauh lagi dah boleh nampak satu dua bukit yang gondol dan tandus sebab semua pokok dah ditebang. Kawasan yang dulunya penuh dengan hutan tebal di kiri kanan jalan, sekarang ni dah jadi macam padang jarak padang tekukur. Asalnya hutan hijau, tak lama lagi nak jadi hutan batu pulak.

Kesian pulak saya pada bukit-bukit yang dah 'botak' tu. Rasa rugi besar pun ada. Nilaian pokok-pokok yang ditebang tu bukannya kecil. Tak ternilai kalau nak dihitung manfaat setiap batang pokok yang Allah ciptakan tu untuk manusia. Bekalan oksigen, stabilkan suhu bumi, maintain ecology dan segala-galanya yang indirectly berkait dengan kita. Kalau semua pokok ditebang, apa lagi yang tinggal untuk menyokong struktur tanah dan menjadi pasak pada bumi?

Saya bukanlah aktivis atau ahli persatuan pencinta alam, tapi rasanya semua orang dapat merasakan kesan pembangunan yang boleh dikatakan tak akan stop selagi dunia tak kiamat. Cuma antara kita ambil kisah atau pun tak saja.

Allah berfirman dalam Surah ar-Rum ayat 41:

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Tanah runtuh, banjir kilat, pemanasan global, semuanya hasil sumbangan kita yang bernama manusia, atas nama pembangunan dan kemajuan. Berbaloikah tukar ganti begitu?

Pembangunan sememangnya satu keperluan, itu memang tidak dapat dinafikan. Tapi, selarikannya dengan ajaran Quran dan sunnah serta nilai-nilai kemanusiaan. Pembangunan yang disertakan dengan nafsu, keinginan untuk mengaut keuntungan semata-mata, itulah yang akan membawa padah. Berpada-padalah dalam menggunakan nikmat yang Allah berikan ini, kerana semua itu pasti akan ditanya di akhirat sana. Yakinkah kita dapat menjawab semua soalan itu nanti?

Comments

Popular posts from this blog

Allah Lihat pada Usaha

Yang Patut Kita Ambil Tahu 1 - Gerakan Kristianisasi

"Inni Shoimun"