Terminator Salvation

Semalam, saya sempat membelek satu akhbar sisipan hiburan, setelah lama tak membeli dan menghadap 'the real newspaper' kerana lebih suka membaca berita secara online saja. Tiba di satu halaman ni, ada satu artikel yang gambarnya menarik perhatian saya, iaitu tulisan tentang sebuah filem dari Hollywood, Terminator Salvation.

Tulisan itu agak menarik perhatian sebab saya dah menonton beberapa kali iklan promosi filem itu di televisyen. Tambah-tambah lagi, saya memang pernah meminati genre filem sebegitu waktu zaman sekolah dulu. Dan filem Terminator Salvation adalah sebuah filem aksi, yang memaparkan pertarungan antara manusia dengan robot pembunuh cyborg.

Berbalik pada artikel tadi. Mulanya, saya fikir tulisan itu nak mengulas tentang jalan cerita, pengarah, pelakon atau teknologi-teknologi dan kesan-kesan khas yang digunakan dalam filem tu. Ya lah, akhbar hiburan, biasanya aspek-aspek macam itu lah yang disebut kalau nak ulas sesebuah filem. Tapi, saya silap. Tulisan itu (ditulis oleh Mohd. Hilmi Abdullah; Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UPSI) membincangkan tentang kemungkinan motif dan agenda tersembunyi Hollywood di sebalik filem itu.

Memandangkan saya sendiri tidak menonton filem itu, saya ringkaskan sedikit jalan cerita filem itu berpandukan jalan cerita yang ditulis dalam artikel beliau.

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang menyelamatkan seorang wanita daripada dibunuh oleh robot pembunuh cyborg. Ketika usaha menyelamat, lelaki tersebut telah berzina dengan wanita yang diselamatkannya, dan akhirnya wanita itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki . Anak lelaki itu digambarkan sebagai seorang yang nakal di zaman kanak-kanaknya dan terlibat dalam penagihan dadah ketika remaja. Namun, akhirnya remaja tersebut menjadi penyelamat manusia daripada dibunuh robot cyborg dan akhirnya menjadi pemimpin agung akhir zaman.

Menurut penulis, mesej-mesej tersirat yang disampaikan melalui filem adalah pendekatan dan taktik halus Hollywood untuk memperjuangkan kebebasan melakukan hubungan seks, yang sangat dilarang dan tidak boleh diterima oleh masyarakat Islam, dengan mengangkat anak zina sebagai hero dalam filem. Ini kerana, mereka tahu dan sedar, ideologi dan fahaman mereka tentang kebebasan seks tidak akan diterima secara bulat-bulat oleh masyarakat Islam dan timur.

Begitulah hebatnya serangan pemikiran yang dilancarkan oleh Barat (orang kafir) dalam zaman serba canggih ini untuk menguasai orang Islam. Mereka tidak menyerang dengan senjata untuk menguasai kita, sebaliknya menggunakan hiburan sebagai modal untuk menjatuhkan kita. Umat Islam sedikit demi sedikit, tanpa mereka sendiri sedari, akan dilalaikan oleh hidangan hiburan yang menyeronokkan, pemikiran mereka akan dipengaruhi oleh ideologi-ideologi Barat melalui filem-filem dari Hollywood yang ditayangkan, cara hidup mereka semakin hari meyimpang jauh daripada landasan agama dan akhirnya menjatuhkan umat Islam ke kedudukan yang paling hina. Maka pada ketika itu, mudahlah bagi Barat untuk menguasai umat Islam.

Filem ini hanya salah satu daripada berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus filem dari Barat yang mempunyai agenda tersirat di sebalik jalan ceritanya. Malah, mungkin kebanyakan filem dan cerita tempatan pun sudah mula terikut-ikut dengan gaya pembikinan filem Hollywood. Cerita-cerita versi Melayu pun dah hilang adat budaya Melayunya, apatah lagi nilai-nilai Islam. Kata pengarah dan penerbit, supaya masyarakat mengambil pengajran di sebalik cerita; tapi berapa kerat yang menghayati pengajaran daripada cerita berbanding mereka yang 'menghayati wajah pelakon dan aksi lakonan' semata-mata?

So, umat Islam memang berdepan dengan cabaran yang amat getir dari kiri, kanan, depan dan belakang mereka. Seandainya perisai iman tidak dipersiapkan dengan sebaiknya, kita mungkin menjadi salah satu mangsa serangan pemikiran Hollywood yang akhirnya menyebabkan kita jatuh ke lubang neraka. Na'uzubillahi min dzalik.

Bersiap sedialah kita, dan mohonlah perlindungan daripada Allah semoga ditetapkan hati dan iman. ameen.








Comments

Popular posts from this blog

Allah Lihat pada Usaha

Yang Patut Kita Ambil Tahu 1 - Gerakan Kristianisasi

"Inni Shoimun"