Penat

Seminggu saya tinggalkan blog tanpa sebarang post. Satu tempoh yang agak lama daripada biasa. Rasa bersalah pula kerana seolah-olah meletakkan kerja 'menyampaikan' ini sebagai satu part-time job, i.e. kalau ada masa terluang baru boleh buat.

Sebenarnya tiba-tiba saya hilang mood untuk menulis. Sebabnya hanya kecil; kepenatan. Penat memikirkan tugas dan tanggungjawab yang bertambah, penat dengan subjek-subjek yang makin susah, penat berkejar ke sana sini, penat dengan kerenah dan masalah orang di sekeliling.


Patut ke saya mengeluh?

Memang tidak patut.

Kerana saya hamba Allah dan saya ada tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Saya bukan diciptakan oleh Allah untuk bersenang-lenang di atas muka bumi ini. Suasana sebegitu hanya boleh dikecapi di syurga. Penderitaan dan kesusahan melaksanakan tanggungjawab di dunia hanya sedikit berbanding penderitaan di akhirat sana kerana mengabaikan tanggungjawab.

Kalau difikirkan, tiada masalah kalau saya hanya duduk terperap di dalam bilik dan menghadap buku-buku dan notes yang semakin bertambah. Apabila ada lecture, saya pergi ke kelas. Apabila tiba waktu solat, saya solat. Apabila lapar, saya makan. Apabila dah malam dan saya pun mengantuk, saya tidur. Tiada sesiapa yang akan marah pada saya kerana saya telah laksanakan tanggungjawab asas saya sebagai hamba Allah dan sebagai student.

Apabila bercakap tentang tanggungjawab, kita mungkin hanya limitkan skop tanggungjawab kita berdasarkan siapa diri kita dan apa status kita pada masa tertentu. Kita tak nak ambil peduli dan fikirkan apa-apa dan siapa-siapa yang tiada kaitan dengan diri kita. Contoh, kalau kita masih belajar, fokus kita hanya untuk belajar, belajar dan belajar semata-mata tanpa fikir tanggungjawab lain. Kalau ada yang lain pun, apabila memegang jawatan tertentu atau terlibat dengan aktiviti di kampus. Apabila sudah bekerja, tanggungjawab kita tertumpu pula pada pekerjaan kita; dan mungkin pada keluarga apabila sudah berkahwin. Dan, apabila sudah pencen dan memasuki usia tua pula, kita hanya duduk goyang kaki sahaja di atas kerusi malas kerana tiada lagi tanggungjawab yang perlu dipikul.

Semudah itu ke hidup kita?

Andai kata hanya itu yang bermain dan berlegar dalam fikiran kita, bangunlah dan buka mata seluas-luasnya. Apa yang ada di sekeliling kita? Kalau ditolak dengan segala jenis tumbuhan dan binatang serta unsur-unsur lain, yang tinggal hanyalah manusia. Sama ada keluarga, kawan-kawan, jiran tetangga, masyarakat, hatta orang yang kita tidak kenal sekalipun; semua punya hak ke atas diri kita.

Masih ingatkah kita dengan masyarakat Islam di Palestin? Atau di tempat-tempat lain yang mana masyarakat Islam ditindas dan dizalimi? Kita mungkin tak kenal seorang pun daripada mereka. Tapi hakikatnya mereka ada hak ke atas diri kita dan kita bertanggungjawab ke atas mereka.

Abaikan semua tanggungjawab itu sekiranya kita berani dan yakin yang kita mampu untuk bersoal jawab dengan Allah di akhirat nanti. Lupakan saja saudara seagama yang dirasakan tidak ada hubungan darah dengan kita andainya dirasakan kita mampu untuk menghadapi dakwaan mereka di padang mahsyar nanti.

Hakikatnya kita memang tidak mampu. Jadi, sempurnakanlah tanggungjawab kita sebelum 'tanggungjawab yang tak tertunai' datang kepada kita dan menuntut hak mereka di akhirat. Biarlah berpenat dan berpeluh di sini asalkan kita tidak derita dan sengsara di sana.

~Tanggungjawab lebih banyak daripada masa~

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam