Perkongsian 1

Salaamullahi 'alaikum.

Saya kongsikan di bawah ini beberapa input yang saya dapat di program Perhimpunan Pendakwah Muda (PPM) di Ulu Yam baru-baru ini. Semoga bermanfaat.

Manhaj Islam manhaj untuk manusia

Seringkali kita mendengar, "Islam is the way of life", "Islam cara hidup yang lengkap untuk manusia", "Islam itu syumul" dan pelbagai lagi phrases yang ingin menerangkan bahawa Islam adalah agama yang lengkap, menyeluruh dan sesuai untuk semua bangsa, tempat dan zaman. Ya, itulah hakikat sifat agama Islam kerana Allah sendiri telah menyempurnakan dan melengkapkan kedatangan Islam lebih 1400 tahun dulu.

"...Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu..."
(Al-Maa'idah: 3)

Jadi, tidak ada sebab untuk kita mencipta, mengambil atau meniru manhaj (cara hidup) lain ciptaan manusia yang bersifat tidak kekal, banyak kekurangan dan tidak boleh diterima oleh semua manusia. Kalau kita lihat dari dulu sampai sekarang, banyak ideologi, isme dan idea yang dicipta oleh manusia, tapi satu pun tidak pernah kekal. Kerana apa? Kerana semua ideologi ciptaan manusia tidak secocok, tidak selari dengan Sunnatullah dan hukum alam. Hanya Khalik yang mengetahui keadaan dan sifat sebenar makhluk ciptaanNya, maka hanya Dia yang tahu peraturan dan undang-undang yang patut diguna pakai oleh mereka.


Islam agama fitrah. Setiap manusia telah mengakui kewujudan, keesaan dan kekuasaan Allah Taala sejak mereka di alam roh lagi. Jiwa mereka telah diikat dengan Islam. Tapi, kenapa apabila telah menjadi penghuni dunia, kebanyakan mereka menjadi hamba yang tidak beriman dan sangat ingkar kepada Tuhan mereka? Kenapa mereka masih tidak mengambil dan mengikut manhaj Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw?

Sebabnya diri mereka diperintah oleh nafsu, bukannya wahyu. Dunia sekarang secara umumya diperintah oleh nafsu. Kejahatan, kezaliman, kerosakan, dan konflik antara manusia yang berlaku atas dunia ini berlaku disebabkan nafsu bermaharajalela. Wahyu diketepikan. Manhaj Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw ditolak atau dicampur adukkan dengan manhaj ciptaan manusia terutamanya dari barat.

Dakwah ila Allah

Melihatkan kepada betapa kritikalnya keadaan umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya, betapa jauh dan jahilnya mereka tentang Islam, betapa rendahnya martabat Islam di mata kuffar sekarang ini, maka menjadi kewajipan mereka yang 'sedar dan jaga' untuk membangunkan mereka yang sedang 'tidur lena' dan lalai dengan kehidupan dunia, mengajak mereka kembali kepada ajaran agama Islam yang sebenar dan meletakkan kembali Islam ditempatnya yang tertinggi. Supaya umat Islam mengamalkan Islam dalam setiap kata-kata dan perbuatan, dan supaya Islam sentiasa dijunjung tinggi dalam kehidupan seharian mereka. Itulah tugas seorang da'ie.

"Saya nak jadi pendakwah!"

Jarang sekali kita dengarkan jawapan sebegini apabila ditanyakan tentang cita-cita seseorang. Tentu pelik bunyinya. Tapi, inilah tugas yang paling mulia di atas muka bumi ini yang diberikan kepada golongan yang paling mulia di kalangan manusia. Maka, sesiapa yang menyambung tugas Rasulullah saw setelah kewafatan baginda untuk menyebarkan Islam, sebenarnya telah memilih profesion yang mulia dalam hidup mereka.

Profesion pendakwah di sini harus dibezakan dengan profesion yang diketahui umum sekarang seperti engineer, doktor, guru dan sebagainya. Profesion ini lebih kepada profesion hala tuju hidup kita di dunia ini, sama ada kita hidup untuk diri sendiri semata-mata atau kita hidup untuk Islam. Kita juga mesti bekerja dan mahir dalam bidang masing-masing sebagai satu tuntutan fardhu kifayah, tetapi pada masa yang sama kita juga tidak terlepas daripada tuntutan melakukan dakwah sesuai dengan status kita sebagai khalifah Allah di muka bumi.


Bersambung dalam entry yang akan datang, insya Allah.

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam