Perkongsian 3

Mantapkan Pengetahuan Sirah

Untuk menegakkan kembali kedudukan agama Islam sehingga Islam memimpin dunia, kita mesti mengetahui dan memantapkan pengetahuan tentang sirah Rasulullah saw supaya dapat merujuk dan menjadikan sirah baginda sebagai panduan dalam melaksanakan gerak kerja kita.

Melalui sirah, kita boleh mengetahui gerak kerja Rasulullah saw dan langkah demi langkah yang diambil baginda untuk menyebarkan Islam. Seluruh kehidupan baginda adalah cerminan dan tafsiran kepada isi kandungan al-Quran. Dan, melalui sirah baginda juga, kita dapat mengetahui dan mengikuti cara baginda membentuk masyarakat ketika itu sehingga mampu melahirkan sebuah masyarakat Islam dan juga daulah Islam di Madinah, walaupun pada mulanya hanya ada beberapa orang yang memeluk Islam.

Apa yang Perlu Dilakukan?

Tidak ada cara lain untuk menegakkan Islam secara berkesan, berterusan dan menyeluruh melainkan kita perlu mulakan dari akar umbinya, iaitu dengan membetulkan akidah dan pemikiran manusia kerana aspek-aspek inilah yang menentukan cara dan jalan hidup yang dipilih seseorang. Setelah kedua-duanya betul, maka setiap amalan, perlakuan dan peribadi mereka akan terpandu di atas jalan yang betul dan lurus.


Lihat sahaja sirah Rasulullah saw, yang mana ketika di awal kedatangan Islam, baginda Rasulullah saw terpaksa menghadapi masyarakat yang diselubungi jahiliyyah dalam seluruh aspek. Tetapi, dengan kaedah pentarbiyyahan individu yang dilakukan oleh Rasulullah kepada golongan yang mula-mula menerima Islam, dan seterusnya dikembangkan melalui sahabat-sahabat baginda, akhirnya lahir individu-individu yang istiqamah beriman kepada Allah dan memiliki peribadi yang unggul dan boleh dicontohi sehingga ke hari ini.


Kejayaan ini bukanlah disebabkan kuasa ghaib dan sebagainya, tetapi kaedah yang berdasarkan fitrah manusia yang secara asalnya mengakui Allah sebagai Tuhan mereka, dan juga berasaskan manhaj Islam yang mampu untuk mengubah manusia ke arah kebaikan.

'Amal Jama'ie


Secara logiknya dan secara praktikalnya, kita tidak akan mampu meruntuhkan jahiliyyah dan menegakkan Islam seorang diri. Mana mungkin kita mampu untuk pergi berdakwah kepada setiap manusia atau menghapuskan semua kemungkaran yang ada di atas muka bumi ini. Paling kurang pun, kita tidak akan kuat untuk menghadapi segala bentuk mehnah dan tribulasi dalam berdakwah; kerana sudah sunnah dalam perjuangan, kita akan sentiasa diuji oleh Allah dan kebenaran sentiasa akan ditentang oleh kebatilan.

Lihat juga kepada matlamat asal kita, iaitu untuk membina empayar Islam dan supaya Islam akhirnya memimpin dunia. Satu matlamat yang sangat besar. Boleh ke kita lakukannya seorang diri? Kalau kita hidup 1000 tahun pun, belum tentu kita mampu melaksanakannya secara berseorangan.

Disebabkan menyampaikan dakwah dan menegakkan kembali agama Islam adalah suatu kewajipan, dan semua itu tidak mampu dilakukan secara individu, maka melazimi jemaah ataupun berada di dalam jemaah juga adalah wajib. Tidak sepatutnya timbul kata-kata seperti "Saya tak mahu masuk mana-mana jemaah", kerana Rasulullah saw sendiri menjalankan metodologi 'amal jama'ie untuk menegakkan negara Islam yang pertama.

Berjayakah Kita?

Kita tidak mampu untuk memastikan setiap orang boleh menerima dakwah kita. Apa yang penting, dakwah tersebut telah sampai kepada setiap orang yang mampu kita capai. Dan begitu juga, kita tidak dapat memastikan bilakah Islam akan kembali semula ke tempat dan kedudukannya yang tertinggi, tetapi kita wajib percaya bahawa ia pasti akan berlaku juga. Mungkin 30 tahun, 40 tahun akan datang atau mungkin pada waktu itu kita telah tiada lagi.

Bukan tugas kita untuk menentukan waktu yang tepat untuk kemenangan Islam kerana semua itu bergantung kepada kehendak Allah Taala. Tanggungjawab kita hanya menyambung tugas dakwah yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Kalau Allah menghendaki ia berlaku sekarang pun, semua itu boleh berlaku, tetapi bukan itu sunnatullah yang Allah tetapkan.

Yakinlah bahawa manhaj Islam yang kita bawa adalah manhaj yang unggul, mudah dan berkesan serta membawa kesejahteraan kepada seluruh umat manusia. Islam tidak akan rugi tanpa kita, tapi tanpa Islam kita akan gagal dan menderita di dunia dan akhirat.

~Islam hanya GERHANA, bukan TENGGELAM~

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam