Seputar di Ulu Yam

Empat hari berkampung di Ulu Yam untuk menghadiri satu program yang dinamakan Perhimpunan Pendakwah Muda (PPM); dan akhirnya petang tadi saya selamat tiba di rumah. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan segalanya; dari hari pertama saya menaiki bas ke sana sehinggalah tiba di stesen bas petang tadi.

Penat masih terasa setelah empat hari mengerah minda dan tenaga. Bersesak-sesak dengan peserta lain, memasak, makan dan tidur seadanya, itu semua kesusahan dan ketidakselesaan yang perlu dihadapi. Tapi, akhirnya semua itu sebenarnya satu keseronokan dan kenangan yang tak mungkin dilupakan kerana apabila berada di rumah, kita tak akan berpeluang lagi untuk merasai semua kesusahan itu.

Rata-rata di kalangan kita menemui segala bentuk keselesaan apabila berada di rumah. Benar, rumah adalah tempat yang paling selesa. Dan, jika kita menilai semua itu dengan mata hati, maka wajar bagi kita memanjatkan kesyukuran pada Allah pada segala apa yang kita ada pada hari ini, walau sekecil dan seburuk mana pun rumah yang kita duduki. Sesusah mana pun kita, masih ada orang yang lebih susah daripada kita.

Berkumpul bersama para da'ie yang rata-ratanya masih muda dan menuntut di IPT adalah satu lagi keseronokan yang saya rasai. Ada akhawat yang saya pernah jumpa dan ramai juga yang belum pernah saya kenal sebelum ni. Bagi yang sudah kenal, kalau setahun atau dua tahun yang lepas masih bujang atau solo, sekarang ni sudah berkahwin dan ada juga yang sudah pregnant. Kalau dulu anak seorang, sekarang sudah bertambah.

Setiap daripada kita akan mengalami transisi atau perubahan dalam hidup. Daripada bayi sehingga menjadi kanak-kanak, remaja, belia, dewasa, tua dan mati. Ataupun daripada bujang sehingga berkahwin, berkeluarga, bercucu, bercicit dan seterusnya. Itu semua perubahan yang zahir dan nampak di mata.

Bagaimana pula dengan iman, amalan, dan ilmu kita? Hakikatnya, semua itu juga memerlukan perubahan dan peningkatan tapi kebanyakan kita tidak menyedarinya. Adakah grafnya menaik, menurun, ada plateau, atau seperti apa, bergantung kepada cara kita memandu hidup kita sendiri.

Ingin sekali rasanya untuk berkongsi dengan anda tentang input yang saya dapat daripada program itu. Insya Allah, untuk entry yang seterusnya, saya akan cuba summarize apa yang saya perolehi selama empat hari di Ulu Yam. Semoga ada manfaatnya untuk anda, insya Allah.

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam