Fatwa Hati

Daripada an-Nawwaas bin Sam'aan r.a., daripada Nabi s.a.w., baginda telah bersabda: "Kebajikan itu ialah akhlak yang baik dan dosa itu ialah sesuatu yang diragu-ragukan oleh dirimu dan kamu benci manusia melihatnya."
(Hadis riwayat Muslim)

Daripada Waabisoh bin Ma'bad r.a., katanya: "Aku telah datang menemui Rasulullah s.a.w. lantas baginda bersabda: "Adakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?" Aku menjawab: "Benar." Maka baginda pun bersabda: "Mintalah fatwa (bertanyalah) kepada hatimu, kebajikan ialah sesuatu yang jiwa dan hati merasa tenang terhadapnya, manakala dosa ialah sesuatu yang menimbulkan perasaan serba salah dalam jiwa dan menggelisahkan dada, sekalipun berbagai fatwa yang diberikan oleh manusia (bahawa ia adalah halal atau haram)."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

~ Hadis 27; Syarah Hadis 40 Imam Nawawi; Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto.

Kedua-dua hadis ini generally menerangkan perbezaan antara dua perkara yang bertentangan iaitu kebajikan dan dosa.

Semua orang pernah mengalami situasi yang mana kita rasa berbelah bahagi dalam membuat atau memutuskan sesuatu perkara. Keliru, tidak tahu mana yang perlu diikut.

Dalam keadaan begini, Rasulullah menunjukkan kepada kita satu jalan iaitu dengan berdasarkan rasa hati. Kalau kita rasa tenang, maka perkara itu adalah kebaikan dan kalau sebaliknya, maka perkara itu adalah dosa.*

Tapi, semudah itu ke? Macam mana kita nak tahu gerak hati atau bisikan hati ketika itu adalah bisikan yang benar, bukan bisikan-bisikan syaitan? Jawapannya, berbalik kepada tahap iman kita. Orang yang benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah, insya Allah akan memiliki hati yang bersih dan jurang antara perkara kebaikan dan dosa dapat dinilai dengan mudah.

Jadi, pelihara iman dan pelihara hati supaya diri kita juga terpelihara daripada dosa-dosa yang terang dan tersembunyi. Satu sifir yang mudah tetapi memerlukan mujahadah yang tinggi.

Teringat pula kepada lagu "Pandangan Mata" nyanyian Kumpulan Hijjaz:

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijjab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

*p/s: Ini hanya sebahagian daripada penerangan hadis. Mohon dirujuk kembali kepada mana-mana kitab syarah Hadis 40 untuk lebih faham.

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam