Bunyi-bunyi Itu

Selesai sahaja solat maghrib, kami adik beradik akan memulakan operasi. Dengan diketuai adik lelaki saya, kami turun ke halaman rumah dengan membawa sekotak mancis dan mercun yang telah dibeli di ‘pasar-pasar gelap’. Beberapa jenis mercun yang common sudah saya kenal dan hafal namanya. Tapi sudah tentu saya hanya berani bermain mercun dari jenis yang saya kategorikan agak selamat dan sesuai untuk girls sahaja.

Sebentar kemudian, halaman rumah dihiasi dengan bunyi-bunyi mercun yang pelbagai. Ada yang menyakitkan telinga, ada yang bunyi biasa-biasa saja dan ada yang tak berbunyi langsung (namanya bunga api). Diselang-seli dengan bunyi-bunyi mercun dari rumah-rumah jiran sekampung yang dekat dan jauh. Macam pesta. Perasaan ketika itu? Seronok. Biasanya pada malam raya, kami akan bermain sakan, menghabiskan saki-baki mercun yang tinggal.

Itu cerita 10 ke 15 tahun yang lepas. Zaman kanak-kanak, fikiran belum cukup matang, hanya tahu berseronok, hanya tahu apabila time nak raya, mesti ada sesuatu yang membezakan antara hari raya dengan hari-hari biasa; salah satunya adalah bermain bunga api dan mercun. Walaupun diberitahu tentang bahaya dan risikonya, tapi itu semua tidak diambil peduli, yang penting adalah keseronokan.

Sekarang, apabila usia sudah meningkat tua, saya tidak lagi teringin bermain bunga api dan mercun. Apatah lagi semua itu telah diharamkan kerajaan lebih 10 tahun yang lalu. Adik lelaki saya juga telah berada jauh di Mesir, yang sudah tentu di tempatnya tiada aktiviti-aktiviti bermain mercun seperti di sini. Malahan, kalau mendengar bunyi-bunyi mercun yang kuat dan membingitkan telinga dan meluruhkan jantung, saya rasa nak marah. Marah pada mereka yang bermain mercun. Kerana mengganggu ketenteraman dan tidak menghormati hak jiran-jiran. Jiran-jiran yang mungkin punya anak kecil atau pun orang-orang tua yang tidak boleh mendengar bunyi-bunyi kuat seperti itu.

Tetapi, saya berfikir kembali. Siapa mereka itu? Mereka juga seperti saya waktu dulu-dulu. Kanak-kanak dan remaja belasan tahun yang juga sedang melalui zaman berseronok seperti yang pernah saya alami. Yang masih belum boleh berfikir dengan matang. Yang tidak peduli pada orang lain. Yang suka-suka hati mereka nak buat apa yang mereka nak. So, adakah mereka wajar dimaafkan atas kesalahan yang dikira tidak disengajakan kerana ‘ketidakmatangan’ mereka? Entah. Mungkin boleh didengar pandangan dan luahan hati ibu bapa mereka sendiri.

Itu hal kanak-kanak yang bermain mercun. Macam mana pula kalau yang bermain mercun itu adalah mereka yang seusia saya? Atau yang lebih tua? Lebih-lebih lagi yang belajar di IPT, di saat kawan-kawan lain sedang bergelut dengan exam. Oh, sungguh saya tidak boleh terima. Belum cukup matangkah anda menilai baik dan buruk? Kalau pun sangat yakin anda boleh handle mercun itu dengan baik tanpa mencederakan diri sendiri, tolonglah fikirkan tentang ketenteraman awam. Perbuatan anda mungkin menyeronokkan diri sendiri dan juga kawan-kawan anda, tetapi siapa tahu di belakang sana ramai yang menyumpah-nyumpah anda kerana mengganggu ketenangan mereka. Fikirkan, mungkin bukan untuk raya kali ini tetapi untuk tahun-tahun yang akan datang.

Maafkan saya andai bunyinya agak kasar kali ini. Sambutlah kedatangan Syawal dengan penuh kesyukuran dan membesarkan Allah, bukan dengan aktiviti-aktiviti yang langsung tidak berfaedah pada diri sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

Allah Lihat pada Usaha

Yang Patut Kita Ambil Tahu 1 - Gerakan Kristianisasi

"Inni Shoimun"