"Inni Shoimun"

Monolog diri, “Jangan mengumpat. Nanti hilang pahala puasa aku.”

Betapa terjaga pancaindera kita (especially mulut) apabila sedang berpuasa. Kita seboleh mungkin menjaga mulut kita daripada mengumpat, bercakap bohong, mencaci, mengata dan sebagainya, kerana kita tahu ia akan menjejaskan pahala puasa kita.

Satu perubahan yang bagus. At least, kita sudah boleh mendidik diri untuk meninggalkan perbuatan mengumpat orang lain yang sangat biasa kita lakukan di bulan-bulan lain. Itulah antara hikmah puasa, bagi orang-orang yang mahu berfikir dan mengambil pengajaran.

Tapi…

Monolog diri lagi, “Malam nantilah, lepas terawih aku cerita kat kawan aku pasal budak tu. Sekarang ni kan aku tengah puasa.”

Boleh pulak macam tu?

Terbatalkah dosa dan hukum haram mengumpat apabila berada di luar waktu puasa? Terjaminkah puasa kita akan diterima Allah setelah kita menjaga sebaik mungkin adab-adab puasa pada waktu siangnya, walhal pada malamnya kita langsung tidak menjaga pancaindera kita?

Inilah akibatnya kalau tak faham konsep puasa. Puasa sendiri bermaksud ‘menahan’. Menahan bukan bermaksud mengempang, seperti kita mengempang air di empangan, tapi mengurus dan mendidik. Mengurus nafsu supaya takut dan taat pada Allah. Apabila sudah difahami begini, kita tetap tidak akan melakukan maksiat, walaupun sudah di luar waktu puasa; apatah lagi di luar bulan Ramadhan. Inilah hasil tuaian taqwa yang dijanjikan oleh Allah kesan daripada ibadah puasa.

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
(al-Baqarah: 183)

Akhirnya, ambillah kesempatan bulan Ramadhan pada tahun ini untuk meningkatkan taraf dan darjat puasa kita. Bukan setakat menahan lapar dan dahaga, tapi menahan semua anggota dan pancaindera daripada melakukan maksiat dan perkara sia-sia, di samping menambahkan amalan-amalan sunat yang lain. Jangan akhirnya jadikan lapar dan dahaga yang kita rasai di siang hari suatu perkara yang sia-sia disebabkan dosa yang kita lakukan.

Sabda rasulullah s.a.w.:

“Barang siapa tidak meninggalkan percakapan bohong dan batil serta beramal dengannya maka tiadalah Allah SWT berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya ”.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“…Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa janganlah berkata keji dan berteriak-teriak, jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, maka ucapkanlah, 'Aku sedang berpuasa'…”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)





Comments

Popular posts from this blog

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam