Nikmat Sihat

Apabila Allah ingin menarik sesuatu nikmat daripada kita, sekejap sahaja nikmat itu akan ditarik daripada kita, dan kita tidak lagi dapat lagi merasai dan menikmati apa yang telah Allah kurniakan sebagaimana sebelumnya. Dan di saat nikmat itu telah hilang, barulah kita mengakui betapa besarnya nikmat tersebut, yang mungkin selama ini tidak pernah kita sedari dan syukuri.

Tidak perlu pergi jauh-jauh, lihat dan renung sahaja nikmat kesihatan yang Allah berikan pada kita saat ini. Dengan adanya nikmat tersebut, kita boleh belajar, bekerja,makan, bersukan, dan melakukan semua perkara yang diingini. Kita mampu bergerak cergas ke mana sahaja tanpa halangan kesihatan.

Tetapi andai nikmat kesihatan ditarik, semua aktiviti lain akan turut terganggu. Kita hilang fokus pada pelajaran dan kerja, hilang selera makan, tidak boleh beribadah dengan sempurna, tidak mampu tidur nyenyak, lesu, pergerakan yang terbatas dan kita mungkin hanya mampu terlantar di atas katil. Malah, kita mungkin tidak mampu menguruskan diri sendiri dan perlu kepada bantuan orang lain.

Di saat ini, barulah disedari betapa bernilainya nikmat kesihatan yang telah Allah berikan kepada kita yang hanya dipandang remeh selama ini. Kita hanya mensyukuri nikmat yang terzahir di mata: wang, rumah, kereta, keluarga, syarikat, tanah, kebun, dan sebagainya tetapi melupakan nikmat yang satu ini; yang jika ditarik Allah, nikmat-nikmat lain tidak lagi akan memberi apa-apa erti buat diri kita.

Di saat ini, barulah disedari betapa lemahnya kita, seorang manusia. Walau siapa pun kita, sekuat dan sepandai mana pun kita, kita boleh ‘dilumpuhkan’ oleh makhluk-makhluk seni dan ‘senjata’ ciptaan Allah. Dengan segala vaksin, supplement dan ubat-ubatan yang ada sekarang, kita yakin tubuh badan kita mampu menangkis segala bentuk serangan penyakit. Tetapi kadang-kadang kita lupa siapa yang berkuasa di sebalik semua ini. Allah sahaja yang Maha Berkuasa mendatangkan penyakit, dan Dia juga yang Maha Berkuasa menyembuhkannya.

Di saat ini, barulah jiwa seorang hamba terasa ingin kembali kepada Penciptanya yang selama ini dilupakan dan diingkari. Barulah terbayang segala dosa yang telah dilakukan. Barulah perasan sedikitnya amalan soleh yang dibuat. Barulah terasa ingin beribadah dan memanjatkan doa sebanyak-banyaknya kepada Allah. Tetapi apakan daya, di saat jiwa ingin kembali kepada-Nya, halangan kesihatan membantutkan hajat kita. Lalu terbit sesalan di hati,

“Kenapalah aku tak buat semua ni masa tengah sihat dulu..”

Sesungguhnya, pada setiap penyakit yang Allah datangkan kepada kita, ada peringatan yang Allah ingin sampaikan, ada hikmah yang Allah ingin kita ambil pengajaran, dan ada kebaikan dan pahala yang Allah ingin berikan kepada kita.

Dan selalulah memperingatkan diri bahawa sekelip mata sahaja nikmat sihat boleh ditarik daripada diri kita. Syukuri nikmat tersebut dengan menggunakannya pada jalan ibadah dan menghambakan diri kepada-Nya. Nabi SAW sendiri telah memperingatkan kita dalam sabda baginda,

“Ada dua kenikmatan yang kebanyakan manusia rugi (terhalang dari mendapat kebaikan dan pahala) di dalamnya, yaitu kesihatan dan waktu lapang.”
(HR. Al-Bukhari no. 6412)

Sama-sama kita mengambil pengajarannya, insya Allah.

Comments

BADRULASIYAH said…
nikmat yg besar ialah nikmat sihat...dgnnya kita dpt beribaah.. berehat..berjalan ke sana ke mari...
terimakasih krn entri blog ini menyedarkan saya ttg NIKMAT BESAR KURNIAAN ALLAH

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam