Berhibernasi di Musim Banjir

Alhamdulillah, baru hari ini dapat merasakan cahaya dan bahang matahari setelah 5 hari berturut-turut, sejak saya pulang bercuti, hujan turun tanpa henti. Begitulah kita, apabila diberikan cuaca panas, kita selalu merungut kerana terlalu panas dan mengharapkan hujan akan turun; tapi apabila Allah turunkan hujan, kita merungut pula, bilalah hujan akan berhenti. Kita selalu tidak berpuas hati dengan apa yang diberikan.

Memang menjadi kebiasaan setiap tahun di negeri-negeri pantai Timur, apabila tiba sahaja hujung tahun, musim tengkujuh akan melanda, dan biasanya akan diiringi dengan banjir. Seingat saya, tidak pernah lagi kampung saya dilanda banjir teruk yang memerlukan kami berpindah, Alhamdulilllah. Setakat air naik ke paras lutut di beberapa buah rumah jiran, itu perkara biasa.

Budak-budak kampung saya memang gembira waktu banjir begini. Seronok kerana dapat berendam dan mandi air banjir. Tak dihiraukan warna air itu, asalkan dapat mandi air banjir. Macam tak pernah jumpa air. Padahal di rumah, air paip bukannya tak ada untuk mandi. Tetapi, bukan itu yang dicari. Hanya ingin mencari keseronokan bermain air banjir yang hanya dapat dirasa setahun sekali.

Teringat pula saya waktu kecil-kecil dulu. Seronok juga kerana dapat bermain air banjir. Hujan dan rasa sejuk yang dirasai tak dihiraukan. Kawasan yang menjadi pilihan adalah berdekatan rumah sepupu saya kerana rumahnya dekat dengan alur sungai. Air yang melimpah disebabkan hujan pula jernih, bukanlah air yang bercampur selut, lumpur, dan sebagainya yang warnanya seperti air teh susu. Kalau tak, manalah saya selera nak bermain.

Aktivitinya biasa-biasa saja. Bukannya berendam atau mandi, tapi sekadar mengharung air setakat paras lutut. Selebihnya, saya tak berani. Selain itu, kami (saya, kakak dan sepupu) akan tangkap ikan-ikan kecil yang berenang dan memasukkannya ke dalam botol yang kami bawa siap-siap dari rumah. Selepas puas hati bermain air dan tangkap ikan, baru kami pulang. Saya pun lupa apa nasib ikan-ikan itu lepas kami bawa balik. Yang pastinya bukan digoreng dan dimakan.

Itu erti keseronokan musim banjir yang saya rasai waktu kecil dulu. Sekarang semua sudah besar. Tak mungkin saya ke alur sungai itu lagi semata-mata untuk bermain air banjir, walaupun kadang-kadang teringin juga apabila melihat budak-budak kampung bermain air banjir. Sekarang apabila musim hujan saya lebih cenderung berhibernasi. Di bawah selimut mungkin? Tambah-tambah, waktu cuti semester begini. Tak perlu fikirkan soal study, assignment, exam dan sebagainya. Lalu otak pun turut sama membeku. Tidak aktif.

Nampak sangat saya beralasan dengan keadaan cuaca dan musim hujan yang melanda. Rasanya saya perlu mengambil contoh zaman kanak-kanak saya - aktif walaupun hujan dan keadaan sejuk. Cuma waktu itu, aktifnya tak kena tempat. Lebih kepada degil dan nakal.

Kepada mereka yang terjejas rumah dan harta benda kerana banjir, sama-sama kita doakan mereka semua diberikan kekuatan dan kesabaran dengan ujian ini. Dan diharapkan semua, terutamanya penduduk di negeri Kelantan dan Terengganu akan sentiasa berjaga-jaga kerana gelombang ketiga banjir dijangka akan melanda pertengahan Disember ini. Doakan semoga semuanya selamat dan kembali pulih seperti sediakala. ameen.

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam