Azam Baru

Hari ini hari terakhir untuk tahun 2009 Masihi. Sedih pula rasanya apabila perlu ‘berpisah’ dengan satu tahun yang saya kira banyak merakamkan kisah-kisah yang tak terduga dalam hidup saya. Menyedarkan saya betapa tersusunnya takdir Allah dan betapa kerdilnya diri ini di sisi-Nya.

Dan esok, hari baru untuk tahun baru 2010 Masihi akan menemui kita, insya Allah.

Tahun baru, selalu saja diiringi dengan azam baru.

Saya juga begitu. Tapi itu waktu dulu-dulu. Zaman sekolah rendah. Terlalu teruja dan bersemangat membuat azam baru setiap kali tahun baru tiba kerana waktu itu juga sekolah akan dibuka setelah cuti akhir tahun yang panjang. Sehinggakan apabila saya menonton wartawan berita menemuramah murd-murid dan pelajar-pelajar di sekolah ketika hari pertama persekolahan, saya juga membayangkan dan mengangankan perkara yang sama. Supaya saya dapat beritahu pada semua orang apa azam saya pada tahun baru.

Huh, zaman sekolah. Macam-macam benda pelik yang diangan-angankan.

Tapi yang pastinya azam baru menyuntik semangat belajar dalam diri waktu itu.

Sekarang?

Rasa-rasanya tiada lagi azam baru yang dinukilkan dalam kepala setiap kali tiba tahun baru. Hanya merasakan diri sudah semakin tua. Tiada lagi istimewanya tarikh 1 Januari untuk tahun sekian-sekian.

Saya lebih suka memasang azam dan tekad baru apabila tiba semester dan tahun akademik yang baru. Kerana itu antara amanah dan tanggungjawab saya sekarang.

Juga, saya memasang azam dan tekad baru apabila ditimpa perkara dan pengalaman yang menyedihkan dan mengecewakan. Kerana pengalaman adalah pelajaran terbaik buat diri. Dan saya harus mengambil pengajaran daripada guru terbaik hidup saya.

Juga, saya memasang azam dan tekad baru apabila saya sedar dengan kesilapan-kesilapan yang saya lakukan sama ada sebagai hamba-Nya atau dalam hubungan saya dengan manusia. Bahawa saya perlu memperbaiki diri dan menjaga hubungan dengan kedua-duanya.

Dan, saya memasang azam dan tekad baru apabila saya merasakan saya hanya mementingkan diri sendiri dan kurang mengambil peduli tentang orang-orang di sekeliling saya. Bahawa saya perlu memberi dan menyumbang sesuatu kepada mereka supaya mereka dapat manfaatnya, dan tidak dipersoalkan di hadapan Allah kelak tentang apa yang telah saya buat untuk Islam.

Pendek kata, setiap hari adalah adalah hari baru untuk saya. Hari di mana saya perlu memasang azam dan tekad baru untuk memperbaiki diri. Kerana setiap hari, saya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan melalaikan tanggungjawab saya.

Saya lebih suka begini. Walaupun begitu, saya kagum dengan mereka yang konsisten membuat azam baru setiap kali hadirnya tahun baru. Malah siap menuliskannya dan menampalkannya sebagai daily reminder. Bagus sekali.

Apa pun cara yang dilakukan, terpulang pada diri sendiri. Kerana setiap orang punya cara fikir yang berbeza. Yang pastinya, kita perlu sentiasa memperbaiki diri untuk setiap hari yang dilalui.

Moga segalanya dipermudahkan Allah. ameen.

Comments

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam