Lakonan Hidup
Pernahkan anda dengar ungkapan bahawa kehidupan di dunia ini diibaratkan sebagai satu lakonan atau cerita? Dan kita manusia yang hidup di atas muka bumi ini adalah pelakonnya.
Tetapi anehnya kita sebagai pelakon di dunia ini yang memiliki pelbagai jenis watak, tidak mengetahui apakah jalan cerita lakonan hidup kita. Berbeza sekali dengan pembikinan sesebuah drama atau filem, semua pelakonnya terlebih dulu diberi skrip supaya mereka memahami jalan cerita yang akan mereka lakonkan.
Saya berikan satu contoh. Pada ketika ini dan di saat ini, saya adalah seorang pelajar yang sedang menuntut di UIAM Kampus Kuantan dan mengambil jurusan Biomedical Science. Adakah hakikat keadaan saya sekarang, telah pun saya maklum dan ketahui ketika saya berumur 6 tahun, ketika berada di sekolah rendah atau di sekolah menengah beberapa tahun yang lalu? Sudah tentu jawapannya tidak. Dan, adakah saya sekarang dapat mengetahui bagaimana keadaan sebenar saya dua tahun, setahun, sebulan, hatta seminit yang akan datang? Jawapannya pasti juga tidak. Saya mungkin merancangkan yang lain, tetapi akhirnya lain pula yang berlaku.
Inilah hakikat sebuah lakonan hidup. 'Pengarah'nya tidak lain, Allah SWT, Yang Maha Mengetahui segala ‘jalan cerita’ ataupun takdir hidup kita, baik atau buruk. Dalam banyak keadaan, kita langsung tidak terfikir bahawa pada waktu dan saat yang tertentu, kita akan mengalami, mendapat, atau ditimpa sesuatu. Sedarlah kita bahawa ilmu yang diberikan Allah kepada kita sangat sedikit berbanding ilmu-Nya. Takdir diri kita sendiri kita tidak tahu, apatah lagi takdir orang lain dan juga takdir dan perjalanan seluruh isi alam ini. Semuanya itu hanya dalam pengetahuan Allah semata-mata. Subhanallah!
Perjalanan hidup kita juga diisi dengan pelbagai warna. Ada yang manis, ada yang pahit, tetapi kedua-duanya bercampur-baur, menjadi satu jalan cerita yang sangat menarik dan berwarna-warni. Dapatkah dibayangkan, kalau anda hanya dikurniakan perkara yang baik-baik sahaja, atau perkara yang buruk-buruk sahaja dalam hidup anda, seronokkah? Tentu tidak. Belajarlah untuk bersyukur pada setiap nikmat yang dikurniakan dan redhalah pada setiap dugaan yang menimpa kita. Kerana semua itu menjadikan hidup kita unik dan berbeza daripada orang lain.
Paling penting, kehidupan di dunia hanyalah satu bentuk ilusi dan bersifat tidak kekal. Mungkin atas sebab itulah ia diumpamakan sebagai sebuah lakonan, kerana lakonan hanya sebuah rekaan, bukan yang hakiki. Jadi, tidak perlu terlalu gembira pada suatu nikmat dunia dan tidak perlu terlalu bersedih pada suatu dugaan hidup, kerana semua itu hanya bersifat sementara.
Dan ingatlah, dunia hanya disediakan Allah sebagai persinggahan untuk kita meraih sebanyak mungkin ganjaran untuk memastikan kebahagiaan hidup yang kekal abadi di Akhirat kelak. Justeru, adakah kita sewajarnya memandu hala tuju kita pada sesuatu yang bersifat sementara dan mengabaikan persiapan bekalan untuk kehidupan yang abadi? Hanya mereka yang tidak berakal sahaja yang akan memilih jalan sebegitu.
Jadilah ‘pelakon’ yang terbaik pada sebuah lakonan hidup, yang mengikuti dan mematuhi segala arahan dan kehendak ‘Pengarah’, supaya kita akhirnya memperoleh ganjaran dan kemenangan syurga yang diimpikan; tetapi jangan sampai diri kita hanyut dan terbawa-bawa dengan 'lakonan' tersebut, kerana ia hanyalah satu bentuk ilusi semata-mata.
Comments