Yang Diberi Amanah
Pilihanraya kampus di UIA Kampus Kuantan sudah berakhir Khamis lepas, serentak dengan UIA Kampus Gombak. Keputusannya pun sudah diketahui. Ada yang terpilih dan ada yang tidak terpilih. Itu sudah tentu. Kalau tidak, masakan diadakan election.
Sesetengah IPT pula kini masih lagi rancak berkempen menjelangnya pilihanraya di kampus masing-masing. Selalunya kalau berdasarkan pemerhatian saya yang lepas, kawasan mereka lebih 'panas' kalau nak dibandingkan dengan UIA Kuantan. Apa pun, selamat berkempen dan mengundi pada yang berkenaan!
Pesan saya, jangan terlalu beremosi berkempen untuk calon atau organisasi pilihan anda, sehingga sanggup menggunakan strategi dan taktik kotor, caci dan maki hamun, memfitnah, menghasut, begaduh, merosakkan harta benda awam, perang mulut dan sebagainya. Harus diingat, kita mahasiswa dipandang sebagai golongan intelek, bukannya emosional. Dan harus diingat, di sisi Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Andai niat kita baik sekalipun, jalan yang salah tidak boleh digunakan untuk mencapai matlamat. Dan harus diingat juga, ikatan persaudaraan (terutamanya di kalangan orang Islam) lebih utama untuk dipelihara.
Kepada calon-calon yang terpilih untuk memenangi pilihanraya, khususnya di UIA, tahniah diucapkan kerana kamu telah terpilih untuk membela nasib dan menabur bakti terutamanya kepada pelajar-pelajar di sini. Satu peluang terbuka untuk kamu mengumpul pahala!
Dan takziah diucapkan juga kerana kamu kini perlu memikul beban, tanggungjawab dan amanah tambahan selain tanggungjawab asasi yang sedia terpikul di bahu. Andai tanggungjawab ini disia-siakan dan dilengahkan, awas! Kamu hanya menempah tiket untuk ke neraka.
Bukan sekali-kali berniat untuk mendoakan, tetapi itulah hakikat betapa beratnya sebuah amanah. Kalau tidak, masakan Imam Ghazali rahimahullah menyifatkan amanah sebagai benda yang paling berat di dunia, bukannya batu, bukit, gunung-ganang dan sebagainya.
Amanah dan tanggungjawab bukan satu perkara remeh yang boleh dilaksanakan secara ala kadar sahaja. Jawatan yang diberikan bukan suatu kegembiraan dan kebanggaan kerana kita telah mendapat/diberi kuasa yang tidak ada pada orang lain, dan bukan juga jalan pintas untuk mendapat sijil, bonus atau markah tambahan untuk kokurikulum, tetapi datang bersamanya suatu bebanan yang terpikul di atas bahu.
Itulah yang sepatutnya difikirkan dan dirisaukan oleh mereka yang diberikan jawatan dan kuasa tertentu. Risau seandainya amanah tidak tertunai, kerana semua itu akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak. Bukan hanya pandai bermanifesto dan menabur janji tetapi kemudiannya hanya duduk goyang kaki dan berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa.
Ikutilah contoh Rasulullah saw dan Khulafa' ar-Rasyidin dalam melaksanakan amanah terhadap rakyat. Saya petik satu pidato 'Umar bin al-Khotthob sebaik dilantik menjadi khalifah:
"Sesungguhnya Allah menguji kamu semua dengan pelantikan saya sebagai khalifah. Dia juga menguji saya dengan melantik saya memimpin kamu semua. Dia mengekalkan saya terus hidup bersama kamu semua selepas kematian dua sahabat saya (Rasulullah dan Abu Bakar). Oleh itu, demi Allah, sesuatu urusan kamu yang sampai kepadaku, ia tidak akan diuruskan oleh orang lain selainku (maksudnya aku akan uruskannya sendiri). Sementara urusan kamu yang tiada di hadapanku (jauh daripadaku), aku tidak serahkannya kecuali kepada golongan yang jujur dan amanah untuk menguruskannya. Jika mereka bersikap baik, saya akan bersikap baik dengan mereka. Namun jika mereka bertindak jahat, saya pasti akan menghukum mereka."
"Kamu berada dalam tanggungjawab saya supaya saya tidak menghumban kamu ke jurang kebinasaan. Tanggungjawab saya juga ialah tidak mengerahkan kamu supaya terus berkawal di sempadan (mempertahankan negara). Apabila kamu tiada kerana terlibat dalam perutusan atau jihad, sayalah bapa kepada anak-anak dan keluarga kamu sehinggalah kamu pulang."
Begitulah antara ciri kepemimpinan mereka. Tiada pengabaian amanah, tiada kronisme, tidak berat sebelah dan tidak pilih kasih, sepertimana yang berlaku sekarang sama ada di peringkat pentadbiran negara atau di dalam kampus sendiri.
Mengapa kita keadaan kita dan Rasulullah serta para sahabat sangat jauh berbeza?
Tepuk dada tanya iman. Sejauh mana kita yakin dengan sebenar-benarnya bahawa Allah SWT adalah 'CEO' yang sentiasa memantau setiap saat pada setiap pergerakan kita.
Itulah jawapannya.
Comments