Cerita Semut

Serangan semut merah dan semut mayat di bilik. Entah dari mana datangnya mereka. Sekarang sudah tidak selamat membiarkan makanan di atas meja, walaupun bertutup. Even air masak kosong dihurung sekali.

 Gambar dari flickr.com, uploaded  by Lord V

Awal-awal dulu, rasa marah dan geram dengan kehadiran mereka. Tapi memikirkan mereka juga makhluk Allah, ada hak untuk hidup, dan yang penting saya tak layak untuk melenyek mereka dengan jari saya, maka saya biarkan saja. Bimbang juga di akhirat nanti mereka datang membuat tuntutan balas! Saya cuba menjadi manusia yang berhati perut. Yang terkapai-kapai hampir 'lemas' dalam jag berisi air, saya tolong selamatkan mereka.

Minggu lepas saya beli sekaya. Mula-mula saya biarkan saja tanpa letak dalam bekas, tapi masih bertutup, dan disimpan di tempat yang semut-semut itu tak pernah jejak. Apabila dibelek keesokan harinya, seperti yang dijangka, mereka ada di sekitar bekas sekaya tu. Macam  mana mereka jumpa jalan ke situ ye?

Lepas tu, saya letak dalam bekas bertutup dengan harapan mereka tak dapat masuk. Ternyata sangkaan saya tak tepat. Mereka berjaya meloloskan diri masuk ke dalam bekas. Tapi kali ni, lain sedikit ceritanya. Disebabkan bekas sekaya itu dibaringkan, bukan ditegakkan, cecair sekaya  yang manis tu meleleh keluar daripada bekasnya. Dan semut-semut yang menghurung sekaya tu akhirnya 'mati lemas' dalam kembara mereka mencari rezeki. Saya menggeleng-geleng kepala sendirian. Kesian...

Namun, masih ada lagi semut-semut yang berlegar di sekitar kawasan tu. Saya yakin mereka pasti nampak kawan-kawan mereka yang dah mati lemas tu. Tapi mereka masih lagi berada di situ tanpa menghiraukan risiko yang bakal mereka hadapi; kerana benda-benda yang manis memang menjadi makanan kegemaran mereka. Saya membebel sendiri, marahkan mereka sebenarnya, "Dah tau kawan tu dah mati lemas, nak pergi jugak kat situ"; seolah-olah mereka dengar dan faham kata-kata saya.

Masa tu, tiba-tiba terfikir. Semut ni tak ada akal, tak boleh fikir baik buruk. Walaupun bukti  'korban' dah ada depan mata, tapi masih degil nak pergi hurung sekaya, because it's very tempting. Kalau manusia pulak macam mana? Bukti dan pengajaran tentang umat-umat terdahulu yang dibinasakan akibat mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, melampaui batas dan mengejar kemewahan dunia, telah dinukilkan di dalam al-Quran, malah masih ada kesan sehingga sekarang. Tapi, adakah kita yang dikurniakan akal untuk berfikir mengambil pengajaran daripada kisah-kisah tersebut?

Akhir zaman ini, manusia terlalu mengejar dunia dan segala isinya. Harta, kuasa, pangkat, kejayaan akademik, status yang tinggi, dan segala-galanya yang  berbentuk material. Sehingga akhirnya kita hanya terlantar kepenatan kerana mengejar dunia, bukan kerana mengumpul amal untuk akhirat. Sehingga akhirnya manusia bergaduh, berperang, khianat dan membunuh sesama sendiri hanya kerana berebut harta dunia.

Jangan binasakan diri sendiri disebabkan dunia. Kerana semua itu akan hancur lebur, menjadi debu-debu yang berterbangan apabila sangkakala yang pertama ditiupkan. Kejarlah sesuatu yang lebih kekal dan menambah saham di akhirat - AMAL - yang dapat membantu kita untuk menghuni syurga yang perhiasannya tiada tandingan, insya Allah.

Oh ya. Sekali sekala, ambil sedikit masa untuk perhatikan tingkah laku dan kehidupan makhluk-makhluk Allah yang ada di sekeliling kamu. Pasti kamu temui banyak pengajaran dan iktibar daripada kehidupan mereka. Bukankah setiap ciptaan Allah itu ada hikmah dan kegunaannya?


Comments

C_NuR said…
I like ur article ^_^
nasuha said…
to C_NuR:

terima kasih. mg ada manfaatnya utk kita semua..

Popular posts from this blog

"Inni Shoimun"

Allah Lihat pada Usaha

Adab Orang yang Meminjam