Tunduk, tunduk!

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan."
(an-Nur: 30)

Bukan lelaki sahaja yang diperintahkan menundukkan pandangan. Ayat seterusnya (an-Nur: 31) menyusul, memerintahkan wanita yang beriman juga agar menundukkan pandangan mereka.

Kenapa perlu tundukkan pandangan? Sudah tentu pertamanya kerana terang-terangan itu adalah perintah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya seperti dalam ayat di atas. Juga disertai dengan hadis Nabi s.a.w.:

Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai Ali! Jangan engkau ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua. Sesungguhnya milikmu adalah yang pertama dan yang kedua bukan milikmu."
(Riwayat Ahmad)

Apa rasionalnya? Pandangan mata adalah perkara pertama yang perlu dijaga dan dikawal untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk dan besar dosanya, iaitu zina. Siapa yang boleh menafikan kata-kata "Dari mata turun ke hati"? Apabila mata sudah seronok melihat, hati yang tidak dikawal juga mudah merelakan walaupun sebenarnya sudah membawa mudharat pada hati.


Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda: Telah dituliskan (ditentukan Qadar) bahagian seorang manusia daripada penzinaan. Dia pasti mendapati ketentuannya itu, tanpa dielakkan lagi; zian kedua mata ialah memandang (perkara yang haram). Zina kedua telinga ialah mendengar (perkara yang haram). Zina lidah ialah bercakap (perkara yang haram). Zina tangan ialah memegang atau mengambil (secara tidak benar). Zina kaki ialah melangkah (ke tempat maksiat). Hati berkeinginan dan bercita-cita. Dan kemaluan akan membenarkan (melakukan zina) atau mendustakannnya (tidak melakukannya).
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah bahayanya pandangan mata yang tak terjaga. Siapa yang boleh menjamin kita terhindar daripada zina-zina yang disebutkan andai kita tidak menutup pintu masuk pertama ke arah penzinaan?

Salah seorang orang soleh pernah ditanya: Bagaimana caranya saya nak menundukkan pandangan? Beliau berkata: Caranya ialah dengan engkau mengetahui bahawa pandangan Allah kepada engkau lebih cepat daripada pandangan engkau kepada apa yang dipandang.

Sentiasalah merasai bahawa Allah sentiasa mengawasi kita walaupun pandangan kita hanya sekilas kepada apa yang dipandang. Hanya apabila memiliki perasaan ini, dan juga rasa takut kepada Allah SWT, kita tidak akan memandang kepada perkara yang diharamkan walaupun ketika kita bersendirian.

Ibnu Abbas berkata: "Seorang lelaki berada dalam kumpulan orang ramai. Lalu seorang perempuan melintas berhampiran mereka. Lelaki itu memperlihatkan kepada mereka kononnya dia telah menundukkan pandangannya daripada perempuan itu. Jika lelaki itu merasa bahawa mereka sedang leka, dia pun memandang perempuan itu. Jika dia bimbang mereka mengetahui gelagatnya, dia pun menundukkan pandangannya. Sedang Allah sebenarnya melihat hatinya bahawa dia telah memandang kepada aurat perempuan tersebut."

Pernahkah terjadi situasi begini kepada kita?

Dalam usaha dan mujahadah kita untuk menjaga pandangan, saya melihat kepada dua perkara yang utama. Pertama, menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang haram, dan kedua menundukkan hati di hadapan Allah SWT, lantaran merasakan kehadiran dan pengawasan Allah bersama kita sama ada ketika bersendirian ataupun di kalangan orang ramai. Apabila kedua-duanya digabungkan, menundukkan pandangan bukan lagi menjadi kesusahan pada kita tetapi menjadi suatu kebiasaan dan tindakan semulajadi tanpa perlu kepada paksaan.

Jagalah pandangan kita daripada meliar tidak tentu hala. Kita hanya akan merasa penat dan lelah saja di akhirnya andai pandangan tidak dijaga, kerana mata kita tidak akan  terjangkau untuk melihat semua 'keindahan' yang ada di sekeliling kita. Dan sudah tentu dosa percuma saja yang kita dapat!

Comments

7ahra said…
masih adakah yg menjaga mata,apalagi hati di zaman ini?.....

Popular posts from this blog

Allah Lihat pada Usaha

Yang Patut Kita Ambil Tahu 1 - Gerakan Kristianisasi

"Inni Shoimun"