Allah Lihat pada Usaha

Semalam ketika dalam kereta, terdengar satu segmen kat radio Ikim.fm. Tetamu jemputannya Prof Muhaya Mohamad. Saya tak sure tajuknya tapi ia berkisar tentang "mencari redha Allah dan bukan penghargaan manusia".

Saya suka mendengar bicara beliau yang lancar, yakin dan mudah difahami. Patutlah adik saya cakap best.

Di tengah-tengah segmen, pendengaran saya tertarik pada kata-kata beliau yang lebih kurang begini bunyinya:

Manusia biasanya melihat pada HASIL daripada usaha kita, tapi Allah melihat dan mengira pada USAHA kita, bukan hasil yang kita dapat.

Kata-kata yang saya biasa dengar, dan anda juga selalu dengar. Betul kan? Tapi saya selalu lupa tentang hakikat itu. Hakikat yang sebenarnya berkait rapat dengan iman. Keimanan bahawa wujudnya Allah yang mengawasi dan menilai segala usaha kita di dunia. Keimanan pada adanya pahala dan dosa, wujudnya syurga dan neraka sebagai ganjaran amal di dunia.

Semuanya adalah perkara-perkara ghaib, yang kita tak boleh lihat dan rasa dengan pancaindera. Kita tak nampak Allah, kita tak nampak bagaimana berlakunya tambah tolak kiraan pahala dan dosa, dan kita tak boleh nampak bagaimana keadaannya syurga dan neraka. Tapi keyakinan yang kukuh pada wujudnya semua itu boleh membantu kita mengemudi kecamuk perasaan tatkala dilanda pelbagai ujian dan kesusahan.

Sejenak, saya teringat waktu-waktu susah dan perit yang pernah dilalui dan dirasai sebelum ini. Betul. Allah sebenarnya sedang menguji saya pada waktu itu sejauh mana tahap iman di dada. Kepada siapa yang saya lebih berharap, manusia atau Dia? Penghargaan manusia atau penilaian Allah yang patut saya utamakan? Pulangan dunia atau ganjaran pahala yang saya patut kejar?

Dan kini saya mengingatkan diri sendiri, andai usaha sehabis daya tidak menemukan sebarang hasil, usah kecewa kerana Allah mengira setiap usaha dan keringat yang dicurahkan.

Comments

mutiara bd said…
"Dan kini saya mengingatkan diri sendiri, andai usaha sehabis daya tidak menemukan sebarang hasil, usah kecewa kerana Allah mengira setiap usaha dan keringat yang dicurahkan."

Suka kata-kata ni..
nasuha said…
Terima kasih..cuma kata2 biasa
Unknown said…
Amal baik, amal buruk. Niat amal.

Popular posts from this blog

Yang Patut Kita Ambil Tahu 1 - Gerakan Kristianisasi

"Inni Shoimun"