Dengki
Bulan puasa, banyak gerai dan bazar yang dibuka. Lebih-lebih lagi apabila dekat nak raya. Sehinggakan mereka yang bukan asalnya berniaga pun boleh juga tiba-tiba menjadi peniaga di bulan Ramadhan ni.
Dari satu sudut, berniaga memang digalakkan di dalam Islam. Bukankah Rasulullah SAW juga seorang peniaga, malah sabda baginda: "9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan." (Hadis Riwayat Tirmizi). Makanya, makin ramai orang Islam yang berniaga, makin meningkat ekonomi umat Islam.
Tapi ada juga yang memandang dari sudut lain. Makin ramai orang yang berniaga, makin tinggi persaingan antara peniaga, dan mungkin juga mereka merasakan keuntungan perniagaan mereka makin menurun, lebih-lebih lagi bersaing di kalangan mereka yang menjual barangan dan produk yang sama.
Seringkali saya terdengar cerita-cerita yang kurang enak tentang sifat dengki di kalangan orang Melayu, yang tak boleh melihat orang lain lebih berjaya daripada mereka dalam perniagaan. Apabila sifat hasad dengki merajai hati, mudah saja kita dicucuk-cucuk oleh syaitan dengan sifat-sifat mazmumah lain. Bukan saja setakat bermasam muka dan tak bertegur sapa, mengumpat, menyebar fitnah dan menjaja cerita-cerita yang tak betul kepada orang lain, tapi boleh juga sampai ke tahap menggunakan khidmat bomoh, pawang, dan sebagainya untuk menjatuhkan perniagaan orang lain.
Semuanya bermula daripada satu, iaitu perasaan hasad dengki. Dengki dengan apa yang orang lain dapat.
Sebenarnya rasa dengki dengan kekayaan dan kelebihan orang lain sama lah maksudnya kita tak puas hati dengan Allah SWT. Sebabnya segala rezeki itu kan datang daripada Allah. Dan Allah telah tetapkan rezeki masing-masing berdasarkan usaha yang dilakukan. Layakkah kita untuk rasa tak puas hati dan halang apa-apa saja kehendak Allah untuk berlaku? Pasti jawapannya tidak.
Lalu, daripada terus-terusan melakukan usaha yang mengundang dosa dan kesyirikan kepada Allah, ada baiknya kita berfikir macam mana untuk memperbaiki, meningkatkan dan meluaskan perniagaan sendiri. Yang penting, dalam berniaga, mesti ada sifat jujur pada diri sendiri dan orang lain. Jangan hanya memikirkan keuntungan tanpa memikirkan keberkatan rezeki yang diperoleh. Contoh yang paling mudah, recycle makanan dan minuman yang tak habis dijual semalam untuk mengelakkan rugi, tanpa mengambil kira kesannya kepada kesihatan pembeli yang tak tahu apa-apa. Macam mana nak dapat rezeki yang berkat kalau menipu orang lain?
Apa yang kita dapat, itu adalah rezeki kita. Dan apa yang orang lain dapat, itu adalah rezeki mereka. Apa saja hasil perniagaan yang diperoleh, haruslah diingat bahawa itu bukan milik kita sepenuhnya. Ada bahagian-bahagian yang perlu diperuntukkan untuk agama dan umat Islam. Andaikata kita menjatuhkan saudara seagama kita sendiri, maka siapa yang akan menyumbang untuk Islam?
Comments