Tak selalunya macam tu
Sejak dari sekolah menengah
hingga tamat belajar di IPTA, Allah Taala telah takdirkan saya untuk menuntut
ilmu di tempat dan suasana yang baik dan masih boleh mendorong saya untuk
sama-sama melakukan kebaikan.
Syukur kepada-Nya atas peluang
dan nikmat yang diberikan. Bukan bermaksud meninggi diri, tapi Alhamdulillah
sepanjang tempoh itu, saya tak perlu terlalu risau untuk menjaga diri daripada
gejala sosial yang makin merebak. Sebabnya, di sekeliling saya, ramai yang
sama-sama juga berusaha untuk menjadi baik dan mengajak orang lain ke arah
kebaikan. Dan semua itu menjadi sokongan yang kuat buat diri sendiri. Saya
pernah merasakan yang saya adalah antara insan yang sangat bertuah kerana
dicampakkan Allah ke daerah yang baik sepanjang tempoh pengajian.
Namun sekarang persepsi saya
sedikit berubah setelah beberapa kali berada dan merasai sendiri suasana di
sebuah kolej di sini. Sebuah kolej biasa, yang pada pandangan peribadi saya
tidak terlalu Islamik, dan agak susah untuk survive
dan memperbaiki diri dalam keadaan orang-orang sekeliling yang tak terlalu
mementingkan perihal agama dan pelaksanaan kewajipan sebagai seorang Muslim.
Tetapi sudah ketetapan Allah Taala, dalam suatu kelompok manusia, pasti ada
segolongan kecil yang masih punya kesedaran Islam, yang masih berusaha
melakukan kebaikan, dan mengajak manusia ke arah kebaikan walaupun masyarakat
sekeliling sudah rosak. Dan suasana yang sama berlaku di kolej ini. Walaupun
komunitinya generally tiada kesedaran untuk mempraktikkan Islam secara
menyeluruh, tapi ada beberapa orang yang masih berusaha kuat untuk
melaksanakannya.
Saya selalu tumpang bersolat di
surau kolej tersebut yang agak besar dan selesa. Tetapi apabila tiba waktu Maghrib,
walaupun setelah azan dilaungkan, hampir tak pernah ada jemaah lelaki yang
datang ke surau kecuali seorang imam dan seorang makmum. Sayu melihat keadaan
ini, namun pada masa yang sama terselit rasa kagum pada adik-adik ini kerana
masih istiqamah untuk melakukan kebaikan.
Mungkin ini sebenarnya
pemandangan biasa di mana-mana sekalipun, tetapi oleh kerana beberapa kali
melalui keadaan yang sama, hati saya tersentuh dengan apa yang berlaku. Saya
merasakan mereka adalah lebih-lebih lagi bertuahnya daripada saya. Kerana
ganjaran untuk kebaikan-kebaikan yang dilakukan pastinya lebih besar di saat
fitnah dan ujian hidup sekeliling tak kurang juga hebatnya. Dan andaikata usaha
tersebut bukan terhenti sekadar pada diri sendiri, malah diajak orang lain
turut sama melakukannya, pastinya pahalanya lebih besar, apatah lagi ada
hati-hati yang tersentuh untuk turut sama mengikut mereka.
Allah Taala telah tentukan nikmat
dan ujian hidup yang berbeza bagi setiap manusia. Dan setiap orang punya
bahagian masing-masing, bergantung kepada sejauh mana dia berjaya
‘memanipulasikan’ nikmat dan ujian hidup itu untuk meraih pahala dan
keredhaan-Nya. Sama ada suasana yang baik, atau suasana yang fasad, kedua-keduanya boleh menjadi nikmat dan ujian, bergantung kepada sejauh mana seseorang itu mengambil hikmah dan manfaat darinya.
Kita mungkin selalu berharap
untuk berada dalam bi’ah solehah saja, yang kena dengan jiwa dan fitrah kita
sebagai seorang Muslim, yang dapat membantu kita untuk istiqamah dengan perkara
kebaikan. Betul, suasana yang baik memang diperlukan untuk membantu diri
membina kekuatan jiwa. Tapi, sampai bila kita harus ‘memanjakan’ diri dan
mengharap kekuatan daripada orang lain, tanpa melihat realiti sebenar yang
perlu kita hadapi. Sindrom ‘takut tak kuat’ perlu disingkirkan jauh-jauh
daripada fikiran.
Mungkin sudah tiba masa untuk kita mencabar diri sendiri
untuk keluar daripada ruang lingkup yang selesa dan membentuk suasana yang baik
di tempat yang lebih memerlukan. Kurangkan fikir tentang masalah dan keperluan diri
sendiri, sebaliknya belajarlah untuk fikir tentang masalah dan keperluan orang
lain pula.
Comments